Aku, Al-Quran dan Whatsapp

Aku, Al-Quran dan Whatsapp

DALAM kitab Kaifa Taqra’ Al-Quran Fi Ramadhan Waghairihi Min Syuhur Al-Am karya Dr. Suhail bin Muhamed Qasim ada menyebut situasi para ulamak terdahulu bersama al-Quran khasnya pembahagian masa mereka untuk khatam al-Quran:

Advertisement

كان الأسود يقرأ في كل ليلتين في رمضان، وكان النخعي يفعل ذلك في العشر الأواخر منه خاصة وفي بقية الشهر في ثلاث، وكان قتادة يختم في كل سبع دائما وفي رمضان في كل ثلاث، وفي العشر الأواخر كل ليلة، وكان للشافعي في رمضان ستون ختمة يقرؤها في غير الصلاة، وعن أبي حنيفة نحوه.

“Adalah Al-Aswad bin Yazid membaca dengan mengkhatamkan al-Quran setiap 2 malam di bulan Ramadhan. Sementara Imam Ibrahim Al-Nakh’ie berbuat demikian pada setiap 10 akhir Ramadhan dan pada bulan selainnya 3 malam sekali khatam. Begitu juga Imam Qatadah pada bulan lain dia khatam Al-Quran pada setiap 7 hari, namun semasa Ramadhan pada setiap 3 hari sekali khatam dan pada 10 akhir setiap malam beliau khatam. Adalah Imam Syafie pula pada setiap Ramadhan mengkhatamkan Al-Quran sebanyak 60 kali yang dibaca diluar solat, begitulah juga halnya Imam Abu Hanifah.”

Subhanallah, bagaimana mereka mengurus masa sehingga mampu mengkhatamkan Al-Quran sedemikian rupa? Sudah tentu ianya taufik daripada Allah dan iradah atau kemahuan yang bersangatan daripada diri sendiri. Iradahmereka adalah membaca al-Quran dan di situ mereka ketemui ketenangan serta pelbagai penyelesaian masalah yang dihadapi. 

Umat Islam hari ini, dilihat iradahnya tertumpu kepada hal ehwal keduniaan yang tampak manfaat kepada dirinya. Dunia penuh canggih menyaksikan manusia bertemankan media baharu sehingga tidur, bangun, makan dan minum semua dengan gajet kecuali solat itupun sejurus salam terus dicapainya telefon pintar mereka!

Jika pada tahun 2019, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengeluarkan data bahawa sejumlah 78 peratus mereka yang ketagih internet ramai daripadanya adalah kalangan kanak-kanak. Apa tidaknya sejumlah 50.4 peratus kanak-kanak di negara ini memiliki telefon pintar pada umur 12 tahun! 

Boleh dikatakan dalam satu jam mereka melihat telefon mereka setiap 10 minit atau kurang. Kini, tahun 2022 apa jangkaan anda hal yang terjadi kepada mereka? Awasilah keluarga anda! Bukan setakat kanak-kanak, mereka yang berumur 50 tahun dan ke atas juga lebih gemar bersama media sosial untuk menjadi teman kesunyian daripada memilih al-Quran sebagai bacaan.

Boleh dikatakan setiap individu bekerja mempunyai paling kurang 50 group Whatsapp. Hal ini menjadikan tumpuan utama adalah kepada Whatsapp dan berkurangnya amalan yang lebih kepada bersifat manual. Boleh jadi mushaf Al-Quran tidak disentuh langsung pada bulan Ramadhan kerana sudah ada perisian Al-Quran dalam telefon pintar! 

Tempoh membaca Al-Quran juga lebih kurang sama laju dengan bacaan berita dan isu semasa. Tanyalah diri sendiri hubungan anda dengan Al-Quran. Jika begini situasinya, mustahil untuk mengembalikan kegemilangan ummah ini melainkan iradah mereka berubah semula kepada Al-Quran dan boleh jadi zaman itu, teknologi sudah menemui kehancuran! 

Ya Allah, tsabatkanlah ummah ini diatas jalan Al-Quran dan jadikanlah mereka pencinta serta pembacanya, Ya Rabb Al-Aalamin.

ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 4/4/2022

Scroll to Top