'Aku bak mati hidup semula'

'Aku bak mati hidup semula'

am@hmetro.com.my

Pemansuhan hukuman mati yang akan dibentang di Dewan Rakyat bulan ini mencetus perbalahan dalam kalangan umum.

Bagi masyarakat, jika sudah bergelar banduan, hukuman wajar perlu diberikan.

Namun jika dilihat sisi lain, tidakkah si pesalah ini juga perlu mendapat pengampunan atau peluang kedua?

Penulis berkesempatan bertemu dengan seorang bekas penghuni tirai besi yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas kesalahan dadah.

Syukurlah peluang kedua itu ada, dia dibebaskan daripada hukuman ngeri itu dan dijatuhi hukuman 17 tahun penjara serta 10 sebatan.

Mahu dikenali sebagai Yie, 63, terlalu banyak kisah hidup yang ingin dikongsikannya selagi ada kesempatan waktu.

Ketika menceritakan pengalaman lampaunya, dia mengakui, terkurung di sebalik jeriji besi untuk suatu tempoh masa yang lama telah mengoyak nafsu dan keegoan supaya meratapi kesalahan lampau dilakukannya.

“Ketika itu, saya berusia 20-an, hidup belum puas (enjoy) namun nyawa hampir diragut di tali gantung.

“Saya sedih mengenangkan waktu itu, saya insaf, saya sentiasa berdoa supaya diberi peluang kedua untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Yie yang pernah bekerja sebagai juruteknik itu berkata, jika ada mesin masa, dia tidak mahu melakukan kesalahan itu.

Dia mengakui salah membuat keputusan akibat kesempitan wang walaupun niat sucinya ialah mahu melangsungkan perkahwinan bersama tunangnya.

“Saya pesan pada tunang saya untuk tidak tunggu lagi kerana pada waktu itu, saya sudah pasti akan digantung.

“Laburlah duit sebanyak manapun untuk lantik peguam hebat, belum tentu boleh menang untuk lawan kes saya.

“Saya juga pesan kepada tunang untuk mencari pengganti dan tidak menunggu saya,” ujarnya dalam nada sebak.

Kini dua dekad berlalu.

Tirai besi mengajarnya menerima keadaan dengan reda, selain menjadi insan yang tabah serta mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.

“Semasa menghuni penjara, saya bersyukur dapat mengenali Islam dan Islamlah mengajar saya erti keinsafan. Alhamdulillah, saya bersyukur dengan peluang diberikan ini,” katanya.

Katanya, peluang kedua amat dinantikannya dan sebagai bekas banduan akhir, dia tidak akan melupakan episod ini.

“Sebaik mahkamah pecahkan seksyen kepada hukuman 17 tahun penjara dan 10 sebatan, saya cukup gembira.

“Ketika itu, saya menjerit kegembiraan kerana terlepas hukuman gantung dan ia umpama mati hidup semula,” katanya.

Pada 10 Jun 2022, kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di Malaysia dengan mengenakan hukuman gantian.

Hukuman berkenaan akan tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Keputusan dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun 2022.

Justeru, laporan kedua akan menyingkap adilkah peluang kedua untuk kesalahan membunuh?

Paparannya di Buletin TV9 dan akhbar Metro Ahad/Harian Metro.

© New Straits Times Press (M) Bhd