Aku berjuang demimu mama

Aku berjuang demimu mama

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Sungai Buloh: Kasih ibu membawa ke syurga. Begitu pengorbanan dan kasihnya Muhammad Nazrin Syah Sazali yang meluangkan masa menjaga ibunya di hospital walaupun sedang berjuang menduduki peperiksaan akhir tahun.

Ketika rakan lain berehat selepas pulang dari sekolah, Muhammad Nazrin Syah, 16, hanya singgah di rumah untuk mandi sebelum kembali ke hospital menjaga ibu, Nazariah Mat Nasir, 47.

Dia tidak berseorangan, namun bergilir-gilir menjaga dengan bantuan bapa, Sazali Kasirin, 55, dan ibu saudaranya.

Sambil menemani ibu, Muhammad Nazrin Syah memanfaatkan masa untuk mengulang kaji pelajaran kerana peperiksaan belum selesai dan berbaki dua kertas untuk diduduki iaitu Kimia dan Tasawuf Islam.

Berkongsi kisahnya, Muhammad Nazrin Syah yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sierramas, dekat sini, berkata, rutin menjaga ibunya bermula sejak ibunya masuk hospital sejak sebulan lalu.

“Mama (panggilan) ada penyakit buah pinggang, namun dimasukkan ke hospital akibat sawan dan pada awalnya keadaan mama 50/50 serta bergantung dengan mesin pernafasan kerana oksigen menurun.

“Disebabkan itu, mama ditahan di unit rawatan rapi (ICU) dekat Hospital Sungai Buloh dan tiga kali juga ditidurkan sepanjang bulan lalu.

“Minggu ini, mama dipindahkan ke Hospital Selayang. Syukur mama sudah sedar dan kata doktor, mama mungkin dibenar pulang rumah minggu depan kerana perlu dipantau lagi disebabkan ada jangkitan kuman pada darah,” katanya.

Bercerita lanjut, Muhammad Nazrin Syah berkata, sudah 13 tahun ibunya menderita akibat masalah buah pinggang dan masih menjalani rawatan dialisis.

Bagaimanapun, anak bongsu daripada tiga beradik itu melihat ibunya sebagai wanita kuat melawan penyakit dihidapi.

“Sebelum masuk hospital, mama boleh buat kerja rumah termasuk memasak walaupun perlu buat dialisis.

“Seumur hidup saya, tak pernah sekali dengar mama mengeluh atas ujian kesakitan diberikan kepadanya.

“Semangatnya buat saya kagum dan nampak mama wanita hebat,” katanya.

Sebagai anak, Muhammad Nazrin Syah berharap dan terus berdoa semoga ibunya terus cekal serta reda dengan ujian ditakdirkan buatnya.

“Itu yang saya harapkan dan syukur juga kerana ramai doakan mama sihat selepas kongsi video belajar di hospital ketika menjaga mama.

“Tak sangka dapat perhatian kerana sekadar kongsi untuk kenangan dan menyimpan memori dengan mama,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top