‘Aku Cinta Padamu’ Raikan 30 Tahun Siti Nurhaliza

‘Aku Cinta Padamu’ Raikan 30 Tahun Siti Nurhaliza

Tiba sahaja musim perayaan, nama Datuk Seri Siti Nurhaliza pastinya menjadi tumpuan. Lagu-lagu raya nyanyiannya terus mendominasi carta dan hati peminat saban tahun, sekali gus mengukuhkan posisinya sebagai antara figura paling berpengaruh dalam industri muzik tanah air.

Kehadirannya di kaca televisyen juga sentiasa dinantikan, menjadikan beliau antara wajah utama yang menceriakan suasana Aidilfitri sejak dahulu lagi.

Lebaran kali ini lebih bermakna apabila Biduanita Negara tampil dengan sebuah konsert istimewa bersempena ulang tahun ke-30 penglibatannya dalam industri hiburan tanahair.

Konsert “Aku Cinta Padamu” menyaksikan dia kembali beraksi di lokasi penuh nostalgia, Angkasapuri Kota Media, atau dahulunya dikenali sebagai Wisma RTM iaitu tempat yang pernah menjadi saksi awal perjalanan seninya.

Menampilkan persembahan bertenaga seleksi lagu-lagu popular sepanjang zaman beliau, rakaman hampir dua jam ini dibimbing maestro muzik yang tidak asing lagi, Datuk Mokhzani Ismail bersama Orkestra RTM.

 

Sesekali mendengar paduan dua figura ini untuk persembahan berskala penuh sebegini memberikan kelainan buat peminat yang hadir. Tidak perlu dipertikaikan lagi keupayaan Siti membawakan semua jenis genre, rakaman istimewa ini menjadi satu lagi memori manis buat semua yang menggemari muzik beliau.

Variasi genre yang dipersembahkan menyerlahkan lagi keupayaan Siti dalam membawakan pelbagai jenis lagu dengan penuh penghayatan.

Pembukaan tirai melalui “Kesuma” daripada album Gema Bumantara diikuti dengan segmen tradisional seperti “Joget Menanti Kasih”, “Joget Angan Tak Sudah” dan “Rencong” menghidupkan suasana dengan nuansa warisan yang cukup indah. Siti turut memilih Bisikan Hati untuk dipersembahan secara langsung kali ini.

Tidak ketinggalan, rangkaian balada ikonik seperti “Kau Kekasihku”, “Gelora Asmara”, “Bukan Cinta Biasa” dan “Aku Cinta Padamu” dilantunkan dengan penuh emosi, memperlihatkan kekuatan vokal yang kekal utuh sepanjang tiga dekad.

Konsert ini turut dimeriahkan dengan penampilan artis jemputan seperti Aina Abdul serta duo Kmy Kimo dan Luca Sickta. Momen istimewa terserlah menerusi lagu “Kumbang Bunga”, yang menyatukan dua generasi penyanyi wanita dengan paduan vokal yang harmoni dan memukau.

 

Sementara itu, “7 Nasihat” membuktikan relevansi Siti merentas zaman, seiring dengan bakat generasi baharu. Nazam Lebaran menutup tirai persembahan yang meninggalkan memori manis buat semua yang hadir malam ini.

Peminat boleh menyaksikan “Aku Cinta Padamu” Siti Nurhaliza 30 Tahun pada hari Ahad ini, 22 Mac 2026, jam 9 malam di TV2.

Teks oleh: Dhiya Aizat

Scroll to Top