‘Aku pernah diludah seorang pakcik’ – Marina nafi takut bertanding kawasan Melayu

‘Aku pernah diludah seorang pakcik’ – Marina nafi takut bertanding kawasan Melayu

JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marina Ibrahim menepis dakwaan bahawa dirinya takut untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu atau mahu kekal di kawasan yang dianggap selesa sahaja.

Menerusi satu hantaran di media sosial pada Selasa malam, Marina berkata beliau sebenarnya sudah lama terlibat dalam gerak kerja politik di kawasan majoriti Melayu, termasuk di sejak tahun 2021.

Menurutnya, ketika itu beliau dihantar untuk menjalankan kerja lapangan dan membuka pusat komuniti di kawasan berkenaan yang dijangka menjadi lokasi untuk dirinya bertanding.

“Saya seorang budak segar, tiada pengalaman dan mentah dalam politik ketika dihantar buat kerja di Layang-Layang.

“Masa itu saya dijangka akan berdepan dengan Datuk Onn Hafiz Ghazi yang ketika itu merupakan Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor,” katanya.

Pada Ahad, Marina mengumumkan keputusan untuk tidak bertanding dalam mana-mana pilihan raya serta berundur daripada arena politik.

Beliau menegaskan dirinya tidak pernah mempunyai masalah untuk bekerja di kawasan majoriti Melayu dan turut dibantu sukarelawan yang tidak mempunyai latar belakang politik.

Marina juga turut menolak dakwaan kononnya hanya melalui pencalonannya di kawasan Melayu parti dapat berkembang, sambil mengingatkan beliau pernah memainkan peranan sebagai pengurus kempen di kawasan Mersing pada Pilihan Raya Umum 2022.

Katanya, calon yang diketengahkan ketika itu bertanding di kawasan yang mempunyai kira-kira 76 peratus pengundi Melayu dan berjaya mengelakkan kehilangan deposit walaupun pertama kali bertanding.

“Kalau betul nak kembangkan parti di kawasan Melayu, dah lama selepas dari itu diletakan penyelaras.

“Akar umbi di sana suarakan isu ni berkali. Dan sekarang mana penyelarasnya untuk kembangkan kerusi?” katanya.

Marina menyantuni salah sorang penduduk ketika melakukan kerja-kerja membantu rakyat di lapangan.

Marina menyantuni salah sorang penduduk ketika melakukan kerja-kerja membantu rakyat di lapangan.

Dalam pada itu, Marina turut berkongsi pengalaman berkempen bersama rakan-rakan sukarelawan serta berdepan pelbagai cabaran sepanjang penglibatannya dalam politik.

“Takkan sampai aku nak cerita lagi macam mana aku dengan seorang kawan perempuan cina aku masuk berdua sahaja berjalan di Felda masa kempen edar flyers jumpa orang kampung.

“Aku seorang perempuan Melayu yang pernah berkempen dan diludah ke muka oleh seorang pakcik,” katanya lagi.

Menurutnya, keputusannya untuk tidak mempertahankan kerusi Skudai tidak ada kaitan dengan rasa merajuk, kecewa atau keinginan untuk berada di kawasan yang lebih mudah dimenangi.

“Ini bukan pasal menang tak menang. Gopalakrishnan dari PKR pun boleh menang di Tiram pada tahun 2018 walau dengan majoriti 1,500 lebih.

“Keputusan aku tak ada kaitan dengan cerita konon merajuk ke, nak duduk tempat selesa ke. Mengarut.

“Aku beritahu satu perkara ya. Kalau korang perhatikan setiap tulisan aku. Kenapa dari dulu aku cakap sukarelawan aku adalah tulang belakang?

“Mereka lain bangsa, lain agama tapi kenapa aku sangat hormati mereka bila nak ambil keputusan ni? Sebab mereka tahu sebab keputusan aku dan mereka berada dengan aku dalam semua keadaan,” katanya.

Scroll to Top