Akui nama belum 'lekat' kukuh dalam industri seni

Akui nama belum 'lekat' kukuh dalam industri seni

am@hmetro.com.my

Penyanyi baharu, Marygrace mengakui dia perlu merancang strategi dengan baik untuk membantu menaikkan namanya dalam industri seni tanah air.

Juara Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) dan pemilik nama sebenar Marygrace Jane Penserga, 24, ini menyedari namanya juga masih belum dikenali ramai dalam tempoh setahun program realiti TV itu berakhir.

“Saya perasan ramai yang masih tak kenal nama saya selepas CSOIAM berakhir.

“Tapi saya anggap perkara itu okay saja kerana kita memang akan ambil masa untuk ada peningkatan dalam karier nyanyian.

“Contohnya, idola saya iaitu penyanyi terkenal Aisha Retno pun orang macam tidak berapa kenal dengannya sebelum ini.

“Jika kita sentiasa aktif dalam industri seni, lama kelamaan nama akan dikenali ramai.

“Jadi, saya mahu cuba buat satu persatu macam Aisha lakukan dan mengambil inspirasi darinya,” katanya.

Berkongsi karier seni, kata penyanyi kelahiran Keningau, Sabah ini, dia juga sudah berpusat di Kuala Lumpur kerana mahu fokus pada karier nyanyiannya.

“Saya mahu lebih fokus pada karier nyanyian di Kuala Lumpur tapi pada masa sama tidak mahu melupakan peminat di Sabah serta mahu seimbangkan keduanya.

“Ramai yang menasihatkan termasuk sifu saya iaitu penyanyi popular Adira Suhaimi yang beritahu untuk menetap di Kuala Lumpur supaya lebih mudah untuk saya dapat peluang dalam karier nyanyian di sini.

“Sejak menang CSOIAM, saya memang sudah tinggal di Kuala Lumpur sebab kereta yang juga hadiah kemenangan itu pun saya letak untuk kegunaan di sini,” katanya.

Mengulas lagu dendangannya, Langit Tak Menjawab yang menjadi runut bunyi (OST) telefilem mega, Rumah Menanti Cahaya dan Sumpah Ibuku yang bersiaran di TV3 pula, Marygrace akui bersyukur dengan sambutan positif pada lagu berkenaan.

“Ramai yang beri maklum balas positif melalui saluran YouTube dan ada yang Direct Message (DM) di TikTok dan beritahu genre lagu itu sesuai dengan vokal saya.

“Walaupun saya berasa genre lagu itu di luar zon selesa tapi mereka beritahu mungkin saya boleh teruskan dengan genre lagu sebegitu. Tapi sudah ramai artis yang buat lagu genre itu seperti penyanyi popular Marsha Londoh,” katanya.

Ditanya harapan dan perancangan pada 2026 pula, kata Marygrace, dia mahu hasilkan lagu yang hits untuk peminat dan satu lagi lagu dalam bahasa Sabah.

“Saya mahu hasilkan satu lagu yang hits pada tahun depan untuk lebih dikenali ramai.

“Pada masa sama, saya masih mencari komposer yang sesuai untuk bekerjasama terutama yang sudah menang Anugerah Juara Lagu,” katanya.

Kata Marygrace lagi, dia pernah bekerjasama dengan komposer Acap Salim untuk lagu Langit Tak Menjawab dan suka caranya bekerja untuk lagu OST berkenaan.

“Saya mahu bekerjasama dengan komposer yang buat saya berasa selesa dan tahu bakat dan kemampuan vokal kerana tidak semua komposer yang kita selesa untuk bekerja.

“Selain Acap Salim, komposer yang buat lagu saya berjudul Titik Mula iaitu Shazee Ishak juga bagus,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top