Al-Quran: Martabat dalam hidup dan pemerintahan dì Kelantan

Al-Quran: Martabat dalam hidup dan pemerintahan dì Kelantan

ANTARA surah pilihan yang digalakkan untuk kita membaca dan memahaminya ialah surah al-Kahfi, Yasin, ad-Dukhan, al-Waqiah dan al-Mulk. 

Surah al-Kahfi – Persediaan menghadapi fitnah Dajal

Surah ini dituntut untuk kita membacanya pada hari Jumaat. Dalam satu Hadis, Nabi ada menyebut yang bermaksud, “Siapa yang menghafal sepuluh ayat pertama, dia akan diselamatkan daripada gangguan Dajal” [1]. Ujian besar akhir zaman ini ialah fitnah Dajal. Oleh sebab itu, kita digalakkan untuk membaca doa berlindung daripada fitnahnya dalam Tahiyyat Akhir [2]. Sebab ia membawa tawaran dunia (kebendaan) kepada kita. 

Surah ini menceritakan mengenai pertembungan antara iman dan kebendaan. Dr Profesor Abu al-Hasan Ali al-Hasani An-Nadawi yang merupakan salah seorang ulamak terkenal di India menulis tafsir khusus mengenai surah ini dalam bahasa Urdu yang bertajuk ‘Pertarungan Antara Islam dan Faham Kebendaan‘. 

Ada empat kisah yang diceritakan dalam surah ini. 

1. Kisah mengenai Ashabul Kahfi iaitu tujuh orang pemuda yang melarikan diri untuk menyelamatkan agama. 

2. Kisah mengenai pemilik-pemilik kebun. Salah seorangnya kaya. Dia lupa diri dengan kekayaannya dan lupa bahawa itu semua kurniaan Allah S.W.T. Akhirnya, Allah memusnahkan tanamannya dengan kebakaran yang besar.

3. Kisah mengenai Nabi Musa dan Khidir. Nabi Musa boleh bercakap secara langsung dengan Allah S.W.T. Khidir ialah Nabi yang ghaib (keberadaannya tidak diketahui). 

4. Kisah mengenai Zulkarnain. Seorang pemimpin atau raja yang hebat dan beriman dengan Allah S.W.T. Ulamak tidak dapat membuat rumusan yang muktamad siapakah Zulkarnain? Ada yang menganggapnya sebagai Alexander The Great. Dia ialah raja Macedonia dan anak kepada Raja Philip II dari Macedonia. Tetapi ada ulamak yang tidak bersetuju sebab dia tidak beriman kepada Allah dan kehidupannya banyak bercanggah dengan agama. 

Nabi menyuruh agar kita membaca surah ini sebagai peringatan bagi menghadapi fitnah Dajal. Cuma kita jarang membacanya dan lebih kepada membaca surah Yasin. Tidak salah untuk membaca surah Yasin cuma ia tidak menepati ajaran Nabi. Sebab Nabi menyebut secara khusus supaya membaca surah al-Kahfi pada malam atau siang hari Jumaat. Sepatutnya apabila kita membaca surah Yasin, tambahlah satu lagi surah al-Kahfi. Kalau kita membaca surah Yasin pada malam Jumaat, keesokan pagi boleh la membaca surah al-Kahfi. Sesetengah ulamak membaca surah al-Kahfi selepas Asar hari Jumaat. 

Surah Yasin – Qalbul Quran

Surah yang masyhur dan kebanyakan daripada kita mengingatinya.  Pengajarannya mengenai akidah, perjuangan dan akhirat. Disebut dalam satu Hadis, surah ini adalah ‘Qalbul Quran’ [3] iaitu hati kepada al-Quran. Bermakna seluruh kandungan al-Quran berada dalamnya. Kandungan al-Quran adalah mengenai akidah (ketuhanan), dakwah dan perjuangan dan akhirat di mana ketiga-tiga perkara ini disebut dalam surah Yasin. Banyak Hadis yang menceritakan mengenai fadhilat atau kelebihannya. 

Surah ad-Dukhan – Beri ketenangan pada hari kiamat

Dalam satu Hadis, Nabi menyebut yang bermaksud, “Sesiapa yang membaca surah ad-Dukhan pada waktu malam, pagi keesokannya 70,000 malaikat akan beristighfar untuknya” [4]. Malaikat akan memohon agar kita diberikan keampunan. Menurut ulamak, kalau kita mengamalkannya, surah ini akan memberi ketenangan dan keamanan kepada kita pada hari kiamat. 

Surah al-Waqiah – Untuk menghindari kepapaan

Dalam satu Hadis (walaupun Hadis ini tidak kuat) yang bermaksud, “Sesiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap waktu malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan sampai bila-bila” [5]. Jadi kalau ingin kaya, tidak perlu lagi hanya memohon bantuan daripada wakil rakyat atau Jabatan Kebajikan Masyarakat, surah ini serba mencukupi, jadi bacalah surah ini pada setiap malam. Kata seorang guru, lebih baik beramal dengan Hadis Dhoif (hadis lemah) daripada berpegang dengan pandangan manusia. Begitulah juga dengan pandangan Imam Ahmad bin Hanbal. 

Surah al-Mulk – Benteng daripada azab kubur

Kita dituntut untuk membacanya pada setiap malam. Surah ini disebut juga sebagai Al-Maani’ah iaitu surah yang membenteng atau mengawal. Ia mengawal kita dari terkena seksa kubur [6]. Ada dalam satu Hadis [7], seorang Sahabat berjalan sehingga ke waktu malam. Dia terjumpa suatu kawasan lapang dan tidur di situ. 

Sebelum terlena, dia mendengar bacaan surah al-Mulk. Dia terkejut dan pada keesokannya, dia bertanya kepada orang kampung. Orang kampung memberitahu bahawa dahulunya ada kubur orang soleh di situ. Orang itu selalu membaca surah al-Mulk. Jadi, surah ini menjaganya daripada azab kubur. 

Surah as-Sajadah – (1) Penurunan al-Quran

Para Imam sentiasa membaca surah ini pada setiap solat Subuh hari Jumaat. Ada sesetengah Imam tidak mahu menjadi Imam sebab tidak mengingati surah ini. Sebenarnya tidak wajib pun untuk membacanya kerana hukumnya sunat sahaja. Kalau membacanya, itu lebih baik sebab kesukaan Nabi adalah Baginda akan membaca surah as-Sajadah dan al-Insan pada pagi Jumaat [8]. 

Surah ini mengandungi 30 ayat. Surah yang ke-32. Termasuk dalam surah Makkiyah iaitu surah yang diturunkan sebelum Nabi berhijrah tidak kira di mana sahaja ia diturunkan. Dinamakan sebagai as-Sajadah kerana ada ayat sajadah dalam ayat ke-15. 

Dalam al-Quran, ada 17 surah yang dituntut atau disunatkan untuk kita sujud tilawah atau sujud sajadah. Kebiasaannya, orang membaca surah as-Sajadah pada hari Jumaat. Dalam surah al-‘Alaq, ada juga ayat ‘wasjud waqtarib’ yang menuntut untuk kita sujud. 

Pada permulaan ayat iaitu ayat 1-3, pemberitahuan mengenai al-Quran ialah wahyu yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada manusia. ‘Tanzilul kitabbermaksud penurunan al-Quran. Apabila disebut mengenai wahyu, fi’il muta’addi digunakan. Bukan ‘Nazala’ tetapi ‘Nazzala’. ‘Nazzala’ – ‘Yunazzilu’ – ‘Tanzil’

Al-Quran ini diturunkan melalui Jibril kepada Nabi Muhammad S.A.W. Bermakna kedudukan wahyu dalam Islam amatlah tinggi. Berbeza dengan wahyu dalam agama lain. Contohnya, konsep wahyu dalam agama Kristian ialah ‘God Inspired’. Mereka menganggap kitab suci Bible itu adalah pemberian ilham daripada Tuhan, bukan turun dari langit. Mereka mempertahankannya kerana ramai yang mengkritik Bible dari segi susunan, kronologi, perkataan sehingga ada empat Bible

Ilham yang diberikan oleh Allah kepada Nabi disebut sebagai Hadis Qudsi. Hadis terbahagi kepada dua iaitu yang pertama ialah perkataan daripada Nabi sendiri dan yang keduanya ialah ilham daripada Allah cuma perkataan disusun oleh Nabi. 

Al-Quran bukan begitu. Isinya bukan daripada Nabi, perkataannya pula tidak disusun oleh Nabi dan Nabi cuma menyampaikan sahaja. Contohnya, kita menyampaikan pesanan si fulan kepada si fulan yang lain. Jadi, pesanan itu bukan pesanan kita dan perkataannya adalah seperti yang diminta untuk disampaikan. Orang Melayu menyebutnya sebagai cakap ajuk. 

Oleh sebab itu, al-Quran tidak boleh diubah walau sedikit pun. Nabi menyusun surah-surah walaupun ada ayat yang diturunkan secara tidak serentak sehingga menjadi 30 juzuk, 6236 ayat seperti yang kita terima pada hari ini. Maka, al-Quran ini bukan daripada Nabi sendiri, fikiran Nabi, usaha Nabi tetapi ia betul-betul datang daripada Allah S.W.T. 

Al-Quran diturunkan melalui Jibril kepada Nabi Muhammad S.A.W dalam tempoh 23 tahun (13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah). Inilah hakikat al-Quran yang sama sekali tidak boleh diubah atau ditukar walau satu huruf. 

Cara Allah S.W.T menjaga al-Quran ialah al-Quran dihafal oleh hafiz atau huffaz. Kerana mereka, al-Quran terjaga. Sekiranya ada salah cetakan, langsung akan dikesan dan diperbetulkannya. Antara tanda akhir zaman ialah orang tidak mengingati al-Quran dan akhirnya, al-Quran semakin hilang daripada mashaf [9].

Di Kelantan, semasa pemerintahan Almarhum Tok Guru Nik Aziz, beliau memperkenalkan aliran tahfiz. Kini, secara rasminya Kelantan telah melahirkan lebih kurang 3,000 penghafal al-Quran. Dahulu pun, ada seorang sahaja Imam yang menghafal al-Quran dan mengimamkan solat Terawih 30 rakaat di Masjid Maahad Muhammadi Kota Bharu. Alhamdulillah kini sudah ramai yang menghafal al-Quran. Namun, sampai satu masa nanti orang akan melupainya. 

Ramai orang yang tidak mempercayai Nabi. Mereka menuduh bahawa apa yang dibicarakan oleh Baginda itu adalah syair, bukan yang sebenarnya daripada Allah. Lalu, Allah menjawab dan menambah lagi bahawa al-Quran tiada sebarang keraguan. Jadi, al-Quran tidak boleh diubah berbanding dengan kitab-kitab lain seperti Bible, Taurat dan Injil. Kitab-kitab ini sudah tidak serupa dengan yang asal. 

Ramai pengkaji yang mengkritik kandungan dalam Bible. Sehingga ramai bersetuju bahawa Bible adalah bukan asli. Ada pandangan yang menyatakan bahawa tidak menjadi kafir kalau tidak mempercayai mana-mana antara tiga teras dalam agama Kristian. Yang pertama ialah tidak mempercayai Trinity (Tuhan ada 3), Nabi Isa mati disalib dan ‘original sin’ (dosa asal). Salah seorang paderi di England yang bernama Reverend Jenkins yang menyatakan pandangan tersebut. Oleh sebab itu, pengkajian terhadap agama Kristian dilakukan semula. 

Al-Quran adalah ‘original’, 100 peratus daripada Allah dari awal hingga akhir termasuklah hurufnya. Sedangkan kitab lain ditukar. Ahli kitab mengubah perkataan dan juga mengekalkan perkataan tetapi menukar makna. Sesungguhnya al-Quran adalah kebenaran daripada Allah bertujuan untuk membawa khabar yang menakutkan kepada orang yang tidak beriman. 

Surah as-Sajadah – (2) Kejadian langit dan bumi

Seterusnya Allah menceritakan mengenai kejadian langit dan bumi. Sesetengah orang yang tidak beriman mengatakan bahawa alam ini terjadi dengan sendiri atau semulajadi. Dahulu sudah pun wujud kepercayaan sedemikian yang disebut sebagai golongan Ad-Dahriyyun. Mereka mendakwa bahawa ‘kita tidak akan musnah kecuali dengan masa’.

Jadi, beringatlah ketika menggunakan perkataan semulajadi. Kalau disebut mengenai alam semulajadi, dari segi hukumnya tidak tepat. Sebab semulajadi bermakna ia terjadi dengan sendiri. Apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, menjadi ‘natural’. Sedangkan perkataan tersebut datang daripada orang yang tidak mempercayai Allah S.W.T. 

Kita yang berada di dunia ini semuanya diciptakan oleh Allah S.W.T. Dalam istilah akidah, ada Khaliq (Pencipta) dan makhluk. Selain daripada Allah, semuanya makhluk seperti manusia, binatang, kayu batu, mineral, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. 

Begitu juga dengan istilah bencana alam. Contohnya, banjir besar, ribut, gempa bumi, tsunami, gunung berapi dan kemarau. Istilah sebenar yang digunakan dalam al-Quran adalah bala. Bala adalah bencana yang Allah ciptakan. Antara tujuannya adalah Allah ingin menzahirkan kebesaran-Nya di mana Dia boleh melakukan sesuatu yang kita tidak dapat fikirkannya. Bala juga adalah hukuman-Nya terhadap kejahatan manusia. 

Pada zaman Sayyidina Umar R.A, kemarau panjang telah berlaku. Walaupun menunaikan solat Istisqa, hujan tetap tidak turun. Akhirnya, Umar berdoa, ‘Wahai Tuhan, janganlah Engkau seksa kami semua kerana dosa seorang manusia, ampunkanlah dosa yang kami buat’. Umar mengetahui bahawa pasti ada sebabnya. Memang terbukti bahawa ada orang jahat di Madinah yang menyembunyikan kejahatannya sehingga seluruh Madinah menghadapi masalah. 

Oleh sebab itu, kita perlu melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Kita tidak boleh membiarkan orang melakukan kejahatan. Kita perlu menegur, membaiki dan sekiranya ada kuasa, kita perlu menyekatnya. Sebab kejahatannya menyebabkan bala diturunkan kepada semua orang. 

Allah ada menyebut agar kita beringat dan takut dengan bala atau musibah. Sebab musibah ini bukan sahaja menimpa orang jahat tetapi juga orang baik. Kalau berlaku banjir misalnya, orang alim juga susah. Bukan air banjir melencong ke lain dan tidak menjejaskan rumah orang alim. Kadang-kadang, rumahnya terlebih dahulu dihanyutkan ke sungai. 

Contoh lain ialah asap rokok. Asap rokok lebih berbahaya kepada orang lain berbanding penghisap rokok. Orang yang terdedah kepada asap rokok lebih berbahaya. Kalau kita seorang tidak menghisap rokok manakala sembilan orang lagi menghisapnya, bukankah lebih berbahaya? Inilah kesan sampingannya. 

Maka, dosa atau maksiat ada kesan sampingan kepada orang sekeliling atau masyarakat. Jadi, masyarakat perlu peka, bukan pekak. Ini bukan soal ‘nak jaga tepi kain orang’. Tetapi sebab untuk menjaga keselamatan orang lain. 

Allah ingin memberitahu bahawa langit dan bumi adalah hak-Nya. Dia menciptakannya dalam masa enam hari. Ada perbezaan dalam kalangan ulamak, hari tersebut ada dua maksud. Pertama ialah hari dunia selama 24 jam. Kedua ialah hari yang melebihi 24 jam. 

Dalam ayat yang lain dalam surah ini, diceritakan bahawa malaikat ulang-alik turun naik dari langit ke bumi memakan masa sehari yang bersamaan dengan 1,000 tahun dunia [10]. Inilah kelebihan yang diberi kepada malaikat. Surah lain pula menyatakan kadar sehari adalah bersamaan dengan 50,000 tahun jarak perjalanan disebabkan perbezaan alam yang lain [11]. 

Contohnya, orang yang disembunyikan oleh hantu yang merasakan dirinya disembunyikan cuma sehari rupanya dijumpai selepas seminggu. Alam manusia, jin dan binatang semuanya lain-lain. Ada binatang yang dapat hidup cuma sebulan dua. Kupu-kupu dapat hidup selama dua minggu sahaja. Kucing dapat berlari dan memanjat pokok tidak sampai empat puluh hari dari tempoh kelahirannya. 

Nabi pergi Israk Mikraj bermula waktu lepas Isyak sehingga waktu Subuh, tidak sampai 12 jam. Kebiasaannya, orang pergi ke Baitul Maqdis selama sebulan. Nabi bukan setakat pergi ke Baitul Maqdis tetapi naik ke langit Sidratul Muntaha. Oleh sebab itu, orang Arab tidak mempercayainya kerana mereka mengikut logik akal. Dalam Islam, ada hukum akal, hukum adat dan hukum agama. Dalam peristiwa itu, Nabi dibelah dadanya dan dicucikan sebagai persiapan untuk naik ke langit yang teratas. Kita hanya sampai ke bulan, tu baru langit dunia. 

Allah berbicara pun ada konteksnya. Oleh sebab itu, ayat ini begitu, ayat ini begini. Kalau kita tidak memahami al-Quran, maka kita akan mengata macam-macam. Justeru, kita perlu belajar. Kalau boleh tidak membaca seorang diri, kena berguru. Kalau tidak, syaitanlah yang menjadi gurunya. Sebab kalau tiada guru, kita akan menyeleweng, terpesong dan sesat dalam fahaman terutama dalam ilmu agama. Tidak boleh mengambil kandungan dalam Google lalu terus menjatuhkan hukum. Belajar ini ada kaedahnya. 

Ada satu kisah di mana seseorang membaca kitab dengan sendiri. Dalam kitab itu ada menyebut “Bissikin wal fa’ri” (dengan pisau dan tikus). Kitab itu sebenarnya silap cetakan. Disebabkan oleh dia terlalu ingin beramal tanpa belajar, jadi dia memenuhkan biliknya dengan pisau dan tikus sambil bertahlil. Apabila ditegur oleh adik-beradiknya yang alim, rupa-rupanya kitab itu salah cetakan. Ayat sebenar ialah “Bissakinati wal waqori” (dengan ketenangan dan kesantunan). Maka, ilmu ini perlu berguru, belajar dan bertanya. Inilah kelemahan orang zaman sekarang. Maklumat banyak tetapi tiada kealiman dan kebijaksanaan. 

Ada pendapat lain yang menyebut bahawa Allah mencipta langit dan bumi dalam enam masa atau tempoh. Berapa lama tempoh itu tidak diketahui. Disebut sebagai hari supaya kita dapat memahami bahawa ia ada masanya. Sesetengah buku menyebut sebagai ‘Period of Creation’ dan ‘Six Stages’. Dia menciptakan langit dan bumi terlebih dahulu, kemudian barulah manusia diciptakan iaitu Adam dan Hawa. Dapatlah mereka hidup dan memakmurkan bumi dengan apa yang disediakan oleh Allah S.W.T. 

Kuliah Pagi Jumaat disampaikan Yang di-Pertua Dewan Negeri Kelantan, Dato’ Haji Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Jumaat, 15 September 2023 di Medan Ilmu, Kota Bharu, Kelantan. – HARAKAHDAILY 18/9/2023

Rujukan:

[1] Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim (no. Hadis 809).
[2] Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim (no. Hadis 588).
[3] Hadis Gharib Riwayat Imam al-Tirmizi (no. Hadis 2887).
[4] Hadis Gharib Riwayat Imam al-Tirmizi (no. Hadis 2888).
[5] Hadis Dhaif Riwayat Imam al-Baihaqi dalam Shu’ab al-Iman (4/119).
[6] Hadis Riwayat Imam al-Nasa’ dalam al-Sunan al-Kubra, (no. hadis 10547).
[7] Hadis Gharib Riwayat Imam al-Tirmizi (no. hadis 2890).
[8] Hadis Sahih Riwayat Imam Bukhari (891) dan Imam Muslim (880).
[9] Berdasarkan Hadis Riwayat Imam ad-Darimi (no. hadis 3209).
[10] Surah al-Sajdah, ayat ke-5.
[11] Surah al-Ma’arij, ayat ke-4.

Advertisement