Alam Flora promosi amalan 'Tapau Elak Sisa', agih 2,000 bubur lambuk

Alam Flora promosi amalan 'Tapau Elak Sisa', agih 2,000 bubur lambuk

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Orang ramai digalakkan menggunakan bekas makanan guna semula ketika membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan bagi mengurangkan penghasilan sisa makanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora), Shariman Yusuf Mohamed Zain, berkata melalui langkah praktikal iaitu menggunakan bekas makanan guna semula, ia berkesan dalam mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan.

Menurutnya kempen ‘Tapau Elak Sisa’ yang dilaksanakan Alam Flora itu memperkukuh komitmennya sebagai peneraju penyelesaian alam sekitar dengan menggalakkan amalan pengurangan sisa melalui penggunaan bekas makanan guna semula bersempena Ramadan.

“Ia dilaksanakan menerusi program Kongsi Rezeki Alam Flora dengan pengagihan sebanyak 2,000 pek bubur lambuk yang dibungkus dalam bekas makanan guna semula dan mangkuk tingkat kepada pengunjung Bazar Ramadan di Presint 3, Putrajaya, hari ini.

“Sepanjang Ramadan, peningkatan aktiviti jual beli makanan sering menyumbang kepada pertambahan sisa pembungkusan.

“Melalui kempen Tapau Elak Sisa, kami menggalakkan orang ramai membawa bekas makanan sendiri atau menggunakan tiffin.

“Usaha ini bukan sahaja dapat mengurangkan sisa, malah memupuk amalan penggunaan semula yang lebih lestari,” katanya.

Shariman Yusuf berkata, amalan itu turut membantu mengelakkan pembelian berlebihan yang akhirnya menyumbang kepada pembaziran makanan serta peningkatan sisa pepejal.

Beliau berkata, perubahan kecil itu mampu memberi impak besar kepada alam sekitar jika dia dapat dibudayakan secara konsisten.

Difahamkan, sejak 2022 hingga tahun lalu, Alam Flora mengutip sejumlah 2,000 tan metrik sampah dari 1 hingga 20 Ramadan setiap tahun di Putrajaya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top