Alami ruam & lelah lepas vaksin kali pertama, Amerul Affendi masih tunggu dos kedua

Pelakon terkenal, Amerul Affendi, 35, atau nama sebenarnya Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi memaklumkan yang dia kini dalam pemantauan doktor dan pihak hospital untuk pengambilan dos kedua vaksin Pfizer atau tukar kepada vaksin lain apabila mengalami gejala teruk selepas menerima suntikan dos pertama pada Julai lalu.

Menerusi laporan dari Harian Metro, Amerul Affendi memberitahu yang seluruh badannya mengalami ruam serta mengalami masalah lelah selepas menerima dos pertama.

Tak hanya itu alahankepada makanan laut yang pernah dihidapinya ketika berusia 14 tahun dulu juga muncul semula sedangkan sebelum ini dia sudah boleh menikmati sajian makanan seperti itu.

“Kini, dua penyakit lama itu datang kembali dan masalah saya terhadap vaksin ini boleh dikatakan kes terpencil dan jarang-jarang berlaku kepada penerima vaksin lain. Cuma, ketika itu mungkin saya yang kurang bernasib baik,”  ujarnya.

Disebabkan masalah tersebut, dia terpaksa melepaskan watak dalam satu drama yang sedang dilakonkannya dan tempatnya digantikan dengan pelakon lain.

Oleh sebab itu, pelakon filem Prebet Sapu ini menyatakan yang kini dia berada dibawah  pemantauan doktor dan pihak hospital bagi mendapatkan vaksin dos kedia. Walau bagaimanapun dia  masih boleh menerima tawaran berlakon dengan mana-mana produksi yang berminat dan memerlukan khidmatnya.

“Saya boleh saja berlakon kerana ada surat kebenaran daripada doktor yang memaklumkan mengenai masalah kesihatan dialami dan ia dikeluarkan oleh hospital kerajaan. Memang tiada masalah untuk pihak produksi menawarkan projek lakonan kepada saya.
“Cuma, hingga kini saya memang belum lengkap menerima dos kedua vaksin Covid-19 di atas sebab tertentu berikutan masalah dialami yang mengganggu kesihatan saya. Apapun, saya sentiasa positif dan akur bahawa ini ujian daripada Allah yang harus dihadapi,” jelasnya.

Mengulas mengenai kerjaya seninya, Amerul Afendi menerusi sumber telah menjelaskan yang bidang lakonan bukan lagi fokus utamanya kerana lebih sibuk menguruskan bidang penternakan dan pertanian sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Hal tersebut dapat dilihat menerusi posting yang dibuat di media sosial apabila tidak kekok berdiri diterik matahari untuk mengusahakan tanah.

Namun, bidang lakonan tetap dikerjakan dan setiap watak yang dilakonkan masih menerima pujian ramai.

Sumber: Harian Metro (Norhayati Nordin)