Alami tekanan dek pembawaan watak Anisa

Alami tekanan dek pembawaan watak Anisa

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Membawakan watak air mata sememangnya bukan tugas mudah. Apatah lagi jika emosi itu perlu dijana dari pagi hingga membawa ke malam secara berterusan hingga boleh mengganggu kesihatan.

Itulah cabaran getir membabitkan fizikal dan mental perlu dilalui pelakon jelita, Sharifah Rose, 28, menerusi drama bersiri terbaharunya, Doa Yang Terlindung yang sedang hangat ditayangkan di slot Akasia TV3.

Rose atau nama sebenarnya, Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira, mengakui watak Anisa benar-benar menguji kemampuannya sehingga dia mengalami tekanan semasa melakonkannya.

“Sebelum ini saya banyak bawa watak romantik komedi, tapi sekarang buat pertama kalinya saya bawa watak sebagai ibu tunggal dan cerita ini kalau nak dibandingkan dengan watak lain, kira yang paling beratlah saya pernah bawa.

“Daripada mula saya dapat naskhah untuk cerita ini pun, saya dah memang gemuruh sebenarnya nak bawa watak ini sebab cerita dia sangat berat. Malah masa awal-awal shooting pun kita terpaksa lompat episod.

“Dan watak ini di awal episod itu memang grafnya naik turun naik turun. Daripada dia masuk sekolah Baitul Khadijah dan lepas dia kena rogol, dia punya graf itu menurun, dia ‘depression’, dia nak bunuh diri, sedih,” katanya.

Menurutnya, ada kalanya apabila balik ‘shooting’ dia akan migrain kerana terlalu banyak menangis dan untuk terlalu penat untuk kawal emosi.

“Ia sesuatu yang berbeza sebab kadang-kadang daripada pagi sampai malam, watak saya asyik menangis saja. Nak kekalkan momentum dan ‘energy’ itu memang penatlah.

“Saya rasa ini watak yang paling mencabar saya pernah bawa. Tapi ia boleh dikatakan sebagai ‘good start’ jugalah untuk tahun 2026, terutamanya lepas saya ambil keputusan berehat panjang tahun lalu.

“Dah lama tak shooting drama episod panjang macam ini. Kalau ada pun tahun lalu saya shooting episod pendek saja. Itu pun sebagai watak sampingan sebab saya memang betul-betul nak berehat seketika,” katanya.

Biarpun berdepan cabaran skrip yang diterima secara berperingkat, Rose bersyukur drama itu mendapat sambutan luar biasa daripada penonton dari episod awal lagi.

“Alhamdulillah dah viral dekat TikTok. Saya pun sebenarnya tak ‘expect’ sangat pun sebab kita shoot cerita ini pun di pertengahan bulan November, kita kejar tarikh tayangan kan.

“Skrip pun kita dapat ‘ongoing’ semasa ‘shooting’. Ada masa kita tak dapat nak selak habis pun ‘the whole’ skrip itu sebab ‘on the spot’ dapat. Jadi bila keluar kat TV pun kita pun baru tahu, oh jalan cerita dia macam ini.

“Tapi Alhamdulillah, saya rasa ‘happy’ sangat watak ini disukai ramai. Kadang-kadang keluar itu pun ada orang panggil saya Anisa. Sebenarnya kita baru saja habis shooting drama ni dalam dua minggu lepas,” katanya.

Memasuki Ramadan, Rose akan berhenti berlakon buat seketika, namun ditawarkan terbabit untuk watak sampingan seperti antagonis drama episod pendek untuk TV Sarawak.

“Kali ini saya kali kedua bawa watak antagonis. Biasanya saya bawa watak heroin, watak-watak wanita dikasihani, tapi kali ini saya bawa watak antagonis pula.

“Watak ini pun saya rasa agak mencabar sebenarnya. Tapi harapnya okeylah dalam bulan puasa pula itu kan. Watak yang saya teringin selepas ini mungkin watak-watak macam thriller atau misteri.

“Sebab selalunya saya berlakon cerita komedi romantik kerana saya sebenarnya enjoy bawa cerita begitu kerana rasa memang jiwa saya kot sebab saya pun memang suka tengok cerita komedi romantik.

“Dia ada sikit sedih, ada sikit ‘happy’, ada sikit macam drama, ada sikit macam konflik. Tapi tak pernah lagi saya bawa watak macam thriller atau misteri, sesuatu yang serius. Mungkin kalau ada rezeki Insya-Allah,” katanya.

Menyentuh berkenaan anugerah, Rose menjelaskan tidak pernah meletakkan sasaran untuk memenangi sebarang trofi setiap kali menerima tawaran lakonan.

“Setiap kali saya ‘shoot’ untuk drama atau apa-apa, saya tak pernah nak sasarkan untuk anugerah, nak menang ‘award’. Cuma setiap kali saya dapat watak itu, saya harap dapat ‘deliver’ (sampaikan) dengan baik.

“Kalau ada rezeki Alhamdulillah, tapi saya anggap ia sebagai bonus untuk membakar sebagai motivasi tapi tak pernahlah macam nak ‘aim’ atau teringin sangat, tak pernah lagi lah,” katanya merendah diri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top