'Alasan kesilapan teknikal tidak boleh diterima, kemenangan KCFC perlu dinilai semula'

'Alasan kesilapan teknikal tidak boleh diterima, kemenangan KCFC perlu dinilai semula'

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Isu kontroversi membabitkan perlawanan antara Penang FC dan Kuching City FC (KCFC) terus hangat apabila pakar perundangan litigasi dan timbangtara, Ong Yu Shin menegaskan kemenangan 1-0 diraih KCFC wajar dinilai semula.

Menurutnya, pengakuan pihak KCFC mengenai ‘ralat’ dalam senarai pemain (Team List) sehingga menurunkan Scott Woods yang tidak didaftarkan jelas mewujudkan pelanggaran serius dalam peraturan pertandingan.

“Ini mewujudkan keadaan nyata bahawa Scott Woods merupakan pemain yang tidak layak (‘ineligible’) semasa perlawanan dengan Penang FC,” katanya kepada Arena Metro.

Yu Shin turut menegaskan, alasan kesilapan itu berpunca daripada pegawai teknikal tidak boleh dijadikan sandaran untuk melepaskan diri daripada tindakan.

“Pendek kata, alasan kesilapan itu teknikal bukannya alasan sah di bawah kod dan kaedah perundangan bola sepak,” katanya, sambil menambah prinsip itu bukan sahaja terpakai di Malaysia, malah selari dengan standard antarabangsa.

Beliau menjelaskan, kes berkenaan berpotensi melanggar beberapa peruntukan penting termasuk Artikel 4.5.7, 4.6.2 dan 4.8 (ix) Peraturan Pertandingan Liga Malaysia, selain Kod Tatatertib FAM yang menyatakan pelanggaran boleh dihukum tanpa mengira sama ada ia dilakukan secara sengaja, cuai atau melulu.

Pada masa sama, Yu Shin turut merujuk kepada doktrin ‘lex sportiva’ yang menekankan integriti dalam undang-undang bola sepak global, sekali gus menolak sebarang alasan bersifat teknikal sebagai justifikasi.

Malah, beliau menarik perhatian kepada contoh tindakan tegas badan induk seperti Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang sebelum ini melucutkan hak perlawanan dengan keputusan 3-0 ke atas pasukan yang menurunkan pemain tidak layak.

“Dalam aplikasi ‘lex sportiva’, kesalahan memainkan pemain tidak berkelayakan bukan perkara remeh. Ia membabitkan integriti pertandingan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan antara tindakan yang boleh dipertimbangkan termasuk denda, perlawanan ulangan atau sanksi pelucutan hak (forfeit) yang menyaksikan KCFC dianggap tewas 0-3 kepada Penang FC.

Tambahnya lagi, kesalahan itu bukan bersifat tunggal kerana turut membabitkan beberapa pelanggaran lain seperti hanya pemain dalam Team List dibenarkan berada di padang permainan, menyertai sesi pemanasan badan serta berada di bilik persalinan.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif KCFC, Iswandi All Hassan menerusi kenyataan mengakui wujud ralat teknikal apabila senarai pendaftaran rasmi menyaksikan nama Woods tercicir dan digantikan dengan nama Danial Amier yang ketika itu tidak berada bersama pasukan di venue perlawanan.

Kata Iswandi, berdasarkan prosedur operasi standard kiraan detik ke sepak mula, pegawai perlawanan sepatutnya melakukan pengesahan akhir di bilik persalinan dengan memeriksa nama serta nombor pemain yang berdafta, namun proses pengesahan itu tidak dilaksanakan oleh pegawai bertugas dalam perlawanan berkenaan, sekali gus menyumbang kepada kekeliruan yang berlaku.

Beliau memaklumkan Woods berada di bangku simpanan sepanjang perlawanan tanpa sebarang teguran daripada pegawai perlawanan walaupun hanya pemain berdaftar dibenarkan berada di kawasan itu.

Pada minit ke-90 permainan, pertukaran pemain dilakukan dengan memasukkan Woods ke dalam padang dan tindakan itu diluluskan tanpa sebarang bantahan atau makluman mengenai isu pendaftaran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top