Alasan tumpang tandas, remaja 19 tahun dicekup bersama teman wanita warga asing

Alasan tumpang tandas, remaja 19 tahun dicekup bersama teman wanita warga asing

am@hmetro.com.my

Kulai: Seorang lelaki berusia 19 tahun dan seorang wanita warga Indonesia ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas disyaki berkhalwat dalam sebuah bilik hotel di sini, tengah malam tadi.

Menurut JAINJ, lelaki tempatan yang masih bujang itu bekerja di daerah ini, dan teman wanitanya berusia 22 tahun itu juga masih bujang serta memiliki permit kerja yang sah.

“Ketika tiba di lokasi kira-kira jam 12.30 tengah malam, anggota penguat kuasa mengetuk pintu dan dibuka lima minit kemudian oleh seorang lelaki berseluar panjang dan t-shirt.

“Dia kelihatan hendak lari, katanya nak balik cepat, tetapi dihalang oleh penguat kuasa.

“Ketika pemeriksaan dibuat, tandas berkunci dari dalam dan apabila ditanya, lelaki itu mengatakan, kawan dia berada dalam tandas,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurut JAINJ, sebaik pintu tandas dibuka, seorang wanita berseluar panjang serta t-shirt lengan panjang tidak bertudung keluar dan hasil pemeriksaan, mereka mengaku bukan suami isteri.

JAINJ berkata, pasangan itu adalah rakan sekerja yang mana, sebelum kejadian, lelaki itu ke asrama wanita dan mereka keluar makan bersama kira-kira jam 8.30 malam.

“Mereka berdua kemudian masuk menyewa sebuah bilik hotel atas nama lelaki itu pada jam 10 malam kerana asrama wanita itu sudah ditutup pada waktu ini menyebabkan dia tidak sempat untuk balik.

“Apabila ditanya kenapa mereka berdua di bilik itu, lelaki itu berkata hanya menghantar wanita berkenaan sahaja, tetapi menumpang tandas kerana sakit perut selepas makan,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu memaklumkan tiada hasrat untuk berkahwin kerana masih belasan tahun serta belum berkemampuan.

Pasangan ini ditahan atas kesalahan khalwat di bawah seksyen 27(1)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top