Alat ganti buka jalan bina empayar bisnes

Alat ganti buka jalan bina empayar bisnes

mahaizura@mediaprima.com.my

Acapkali kerjaya profesional sering diukur melalui kelayakan akademik, namun Muhammad Al-Annas Abdul Yamin membuktikan lulusan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) juga mampu melahirkan kejayaan setaraf.

Berbekalkan kemahiran teknikal, keberanian mencuba dan disiplin tinggi dalam berniaga, anak muda berusia 35 tahun ini berjaya membina empayar automotif sendiri yang kini berkembang kepada 50 cawangan di seluruh negara.

Kejayaan Pengarah Urusan PR Venture Sdn Bhd yang membawa jenama Mr Absorber ini membuktikan pendidikan teknikal bukan laluan kedua sebaliknya platform kukuh untuk membina kerjaya profesional mampan dan berdaya saing.

Menurut Muhammad Al-Annas, minatnya terhadap bidang teknikal bermula sejak di bangku sekolah apabila mengikuti aliran sekolah teknik sebelum menyambung pengajian dalam Diploma Kejuruteraan Pembuatan di Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTI) pada 2008.

“Saya menjalani latihan industri di sebuah syarikat pembuatan komponen aeroangkasa milik Singapura di Pulau Pinang sebelum ditawarkan sebagai perantis.

“Saya kemudian bekerja di sebuah syarikat pembuatan plastik dari Jepun dan ditempatkan di jabatan penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.

Menurutnya, pengalaman industri menjadi titik penting dalam pembentukan dirinya, namun selepas lapan bulan bekerja, dia mula sedar laluan bekerja makan gaji dengan pendapatan yang hampir statik bukan apa yang diinginkannya.

“Bekerja dengan orang memang beri pengalaman berharga, tetapi jiwa saya lebih kepada berniaga. Saya nampak had pendapatan kalau hanya ikut laluan biasa,” katanya.

Di atas keinginan membina kerjaya lebih baik, Muhammad Al-Annas menyambung pengajian di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) sebelum menjalani latihan industri di Mantin, Negeri Sembilan.

“Ketika menjalani latihan industri di Mantin, saya meminjam kereta kakak yang sudah berusia belasan tahun dan menyedari kenderaan itu ada masalah dengan alat penyerap hentakannya.

“Waktu itu, saya tiada duit lalu saya cari alternatif murah dan pasang sendiri,” katanya.

Daripada situ, dia melihat potensi pasaran apabila mendapati alat penyerap hentakan antara komponen kenderaan yang paling kerap dicari di platform jual beli dalam talian.

“Dengan bantuan bapa saudara saya yang bekerja di syarikat pembekal alat ganti, saya mula menjual alat penyerap hentakan secara kecil-kecilan dan sambutannya sangat tinggi.

“Ketika itu, saya berniaga setahun bersama bakal isteri sebelum kami berjaya mengumpul wang untuk berkahwin,” katanya.

Menurutnya, ilmu teknikal yang dipelajari dimanfaatkan sepenuhnya dalam membangunkan perniagaan.

“Saya memulakan perniagaan tanpa sebarang suntikan dana luar, modal awal saya waktu itu cuma atas dasar kepercayaan seorang pembekal yang membenarkan produknya diambil tanpa bayaran awal.

“Caranya, saya mengambil produk pada waktu pagi, menjualnya sebelum membuat bayaran semula pada waktu petang,” katanya.

Kini, produknya dipasarkan melalui program ‘licensing’ dengan 50 cawangan di seluruh Malaysia, sekali gus melahirkan usahawan automotif Bumiputera yang memiliki sistem perniagaan tersusun dan tidak bergantung sepenuhnya kepada kehadiran mereka di premis.

“Apa yang lebih membanggakan, setiap usahawan ini mampu membina pasukan sendiri yang besar serta menyediakan peluang kerjaya berpendapatan tinggi dalam industri automotif.

“Namun, sudah tentu kita tidak boleh lari daripada cabaran, antaranya memastikan kualiti perkhidmatan yang konsisten di semua cawangan dan setiap pasukan memahami matlamat sebenar kami,” katanya.

Anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan ini turut menjadikan perniagaan ini medium untuk berkongsi rezeki dan menyumbang kepada masyarakat melalui program kebajikan gelandangan, penajaan persiapan persekolahan anak kakitangan, tajaan majlis berbuka puasa, bantuan kepada pelatih tahfiz serta pembayaran zakat perniagaan RM120,000 pada 2025.

Pesannya kepada anak muda, khususnya lepasan TVET supaya tidak memandang rendah laluan yang dipilih, sebaliknya berani mencuba dan keluar daripada zon selesa.

“Jangan sia-siakan usia muda kerana peluang itu datang sekali. Mulakan seawal mungkin, rebut peluang dan kumpulkan pengalaman daripada mereka yang sudah berada dalam industri.

“Percaya pada hala tuju sendiri dan jadikan individu berjaya sebagai rujukan untuk melihat apa yang mereka lakukan dengan betul supaya kita boleh belajar dan memahami bagaimana kejayaan itu dibina,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top