Alat kelui meletup serentak di Lubnan, Syria: 9 maut, 2,800 cedera 

Alat kelui meletup serentak di Lubnan, Syria: 9 maut, 2,800 cedera 
Orang ramai gempar apabila ratusan alat kelui yang digunakan oleh anggota pejuang Islam Hizbullah meletup di seluruh Lubnan pada Selasa. (FOTO: NBC News)
– Advertisement –

BEIRUT: Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan 2,800 yang lain cedera selepas alat kelui (atau ‘pager’) yang digunakan oleh kumpulan pejuang Hizbullah meletup secara serentak di Lubnan dan Syria pada Selasa.

Dalam kejadian pada jam 3.30 petang waktu tempatan itu, alat kelui terbabit dikatakan mula menjadi panas dan kemudiannya meletup di dalam poket dan tangan mereka yang membawanya.

– Advertisement –

Letupan itu berlaku di pinggir bandar selatan Beirut dan wilayah Beqaa di timur Lubnan, lokasi di mana kumpulan pejuang Hizbullah mempunyai kehadiran yang kuat, serta di Damsyik, Syria yang turut menyebabkan beberapa anggota kumpulan pejuang itu cedera.

Insiden letupan itu turut mengakibatkan kecederaan kepada Duta Iran ke Lubnan, Mojtaba Amani, dengan lebih 200 orang berada dalam keadaan kritikal, lapor Vox.

Menteri Kesihatan Lubnan, Firass Abiad berkata, kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun antara yang terbunuh selepas alat komunikasi itu meletup dalam kejadian yang dipercayai didalangi oleh perkhidmatan perisikan Mossad dan tentera Zionis Israel.

“Kecederaan kebanyakannya dilaporkan pada bahagian muka, tangan dan perut. Hospital di Beirut telah dibanjiri pesakit dan meminta orang ramai untuk menderma darah,” katanya menerusi satu kenyataan.

Alat kelui yang meletup itu dikatakan telah diperoleh oleh Hizbullah selepas ketua kumpulan pejuang itu mengarahkan ahli-ahlinya untuk berhenti menggunakan telefon bimbit pada Februari lalu, dan memberi amaran ia boleh dikesan oleh perisikan Zionis Israel.

Letupan itu berlaku beberapa jam selepas agensi keselamatan dalam negeri Israel mendakwa, ia telah menggagalkan percubaan Hizbullah untuk membunuh seorang bekas pegawai kanan keselamatan Israel menggunakan bahan letupan yang ditanam, dan boleh diletupkan dari jauh.

Sementara itu, pakar berkata, letupan alat kelui itu menunjukkan tanda-tanda operasi yang telah lama dirancang, walaupun cara bagaimana ia dilakukan tidak diketahui. 

Penyiasat tidak mempunyai maklumat tentang bagaimana alat kelui itu diletupkan atau bagaimana bahan letupan itu dimasukkan ke dalam setiap alat kelui yang meletup itu. -Agensi/– HARAKAHDAILY 18/9/2024

– Advertisement –

Scroll to Top