mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kelab Sepanyol, Deportivo Alaves menegaskan mereka menghormati keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang mengekalkan penggantungan pemain pertahanan, Facundo Garces selama 12 bulan daripada beraksi dalam perlawanan rasmi.
Kelab yang beraksi dalam saingan La Liga itu mengesahkan Garces tetap akan menjalani latihan bersama pasukan sepanjang tempoh penggantungan berkenaan.
Menurut kenyataan kelab itu, pemain berusia 25 tahun berkenaan masih dibenarkan terbabit dalam aktiviti berkaitan bola sepak termasuk latihan bersama rakan sepasukan.
CAS sebelum ini memutuskan Garces bersama enam lagi pemain dikenakan penggantungan selepas didapati memalsukan dokumen kelayakan untuk mewakili Malaysia.
Bagaimanapun panel CAS turut memutuskan kesemua pemain terbabit masih boleh menyertai aktiviti berkaitan bola sepak termasuk latihan.
Namun penggantungan selama 12 bulan daripada menyertai perlawanan rasmi tetap dikekalkan dan dikira bermula September tahun lalu.
“Pemain itu digantung daripada menyertai perlawanan rasmi selama 12 bulan dengan tempoh yang sudah dilalui akan diambil kira dalam hukuman itu,” menurut kenyataan kelab berkenaan.
Tambah kenyataan itu lagi, sekatan yang dikenakan hanya membabitkan penyertaan dalam perlawanan rasmi saja.
“Sekatan itu hanya terhad kepada penyertaan dalam perlawanan. Garces boleh terus menjalani latihan dan meneruskan aktiviti profesionalnya bersama kelab sepanjang tempoh itu,” katanya.
Pada masa sama, Alaves memaklumkan mereka akan meneliti sepenuhnya keputusan rasmi yang dikeluarkan oleh CAS.
Kelab itu juga menegaskan menghormati setiap keputusan yang dibuat oleh pihak berkepentingan berkaitan bola sepak.
Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) gagal dalam rayuan mereka selepas CAS mengekalkan hukuman penggantungan terhadap tujuh pemain terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




