Albert Tei direman 6 hari

Albert Tei direman 6 hari

Putrajaya: Ahli perniagaan, Albert Tei, direman selama enam hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan dakwaan berkait klip video yang memaparkan perbualannya dengan seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong.

Perintah reman itu dibenarkan oleh Majistret Fatin Muneerah Sofian selepas mendengar permohonan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pagi tadi.

Perkara itu disahkan oleh peguam Albert, Mahajoth Singh, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah.

Terdahulu, Albert atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, bersama bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, dibawa dengan menaiki van SPRM ke Kompleks Mahkamah Putrajaya di sini bagi mendapatkan perintah reman.

Bagaimanapun, permohonan reman terhadap Shamsul Iskandar masih berjalan.

Semalam, media melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata Albert ditahan kerana menjadi individu paling penting dalam siasatan dakwaan membabitkan Shamsul Iskandar.

Azam juga dipetik berkata, SPRM sudah menyerahkan notis Seksyen 28A(9) Kanun Prosedur Jenayah kepada Albert, yang mana ia memberi kuasa kepada pihak berkuasa yang menyiasat bagi menafikan hak individu disiasat untuk berhubung dengan peguam dan mana-mana pihak lain.

Sementara itu, Sofia Rini pula sudah direman selama empat hari bermula semalam hingga Isnin ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top