Album ‘Seharum Nama’ Bukti Ketabahan, Bunga Pernah Terfikir Berhenti Menyanyi Kerana Gagal 2 Kali Ketika Study

Album ‘Seharum Nama’ Bukti Ketabahan, Bunga Pernah Terfikir Berhenti Menyanyi Kerana Gagal 2 Kali Ketika Study

Penyanyi rap wanita popular, Bunga mendedahkan dia pernah berada di titik paling rendah dalam hidupnya apabila gagal dua mata pelajaran ketika pengajian di peringkat sarjana muda sehingga pernah terlintas untuk berhenti daripada dunia nyanyian.

Menyambung pelajaran dan turut bergelar penyanyi dalam masa yang sama, kepenatan berulang alik dari rumah di Damansara Damai ke kampus di Universiti Teknologi MARA, Seremban menjadi antara faktor utama Bunga hampir berputus asa.

“Momen paling rendah sepanjang lima tahun penglibatan saya dalam industri adalah ketika saya menyambung pelajaran. Saya sangat tertekan waktu belajar. Semester ketiga dan keempat, saya gagal untuk satu subjek.

“Waktu itu saya ulang alik setiap hari dari Damansara ke Seremban. Kadang-kadang naik tren jika tiada kereta. Saya bangun seawal jam 5 pagi dan sampai pada jam 11 malam. Sangat memenatkan.

“Saya berulang alik Damansara ke Seremban kerana mahu tinggal bersama ibu. Ia adalah pengorbanan yang disengajakan kerana saya tidak mahu meninggalkan ibu bersendirian. Jadual saya padat, Isnin hingga Jumaat saya ke kuliah dan pada Sabtu dan Ahad, saya menerima undangan persembahan,” katanya.

Walaupun pada satu ketika dia hampir menyerah, kehadiran keluarga dan rakan-rakan yang memahami perjuangannya memberikan semangat untuk terus bertahan dalam bidang muzik.

“Sejujurnya, saya hampir berhenti dari semua ini, sebab terlalu penat dan tak mampu nak fikir apa-apa lagi. Tapi mereka ingatkan saya tentang kenapa saya bermula dan percaya saya ada tempat dalam industri ini. Jadi saya pilih untuk teruskan dan serahkan segalanya pada takdir,” jelas Bunga.

Lebih mengharukan, kata Bunga, suaminya Amzar Sabri turut memainkan peranan besar dalam memberi sokongan moral dan membantu dirinya mencari semula keseimbangan hidup.

“Banyak perkara saya lakukan dalam satu masa, jadi saya rasa ‘burn out’, sampai saya lupa bagaimana rasanya berehat. Selepas berkahwin, saya cuba buat perkara baru, berkhemah, nikmati alam, cari ketenangan. Suami saya selalu ingatkan, jangan bandingkan diri dengan orang lain, bandingkan dengan diri sendiri yang semalam,” katanya lagi.

Pada November tahun lalu, usaha keras Bunga membuahkan hasil apabila dia berjaya bergraduasi dan menggenggam pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran.

Segala kepayahan tersebut akhirnya diterjemahkan dalam bentuk seni apabila Bunga melancarkan album studio pertamanya bertajuk Seharum Nama – Bunga, yang kini boleh dinikmati di semua platform digital.

Album yang memuatkan 10 buah lagu ini bukan sahaja memperlihatkan kematangannya dalam berkarya, malah menjadi simbol perjalanan seni yang telah dimulakan sejak tahun 2019.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur akhirnya album ini siap juga. Ia adalah cerminan diri saya, penuh emosi, kejujuran dan pengalaman hidup yang diterjemahkan ke dalam muzik. Setiap lagu dipilih dengan teliti,” katanya.

Dengan bimbingan Warner Music Malaysia, Bunga turut memperkenalkan single utama Tak Tidur Malam yang melalui proses produksi yang cukup teliti termasuk susunan semula muzik dan proses mastering oleh tiga individu berbeza.

Lagu tersebut asalnya diinspirasikan daripada elemen dangdut, namun selepas beberapa kali percubaan, pasukan produksi memilih untuk membawakan bunyi yang lebih ‘gelap’ dan unik, digambarkan sebagai ‘vibe spooky”.

Selain Tak Tidur Malam, album ini turut memuatkan lagu-lagu seperti Buai, Jatuh, Dengarkanlah, Intan Payung (feat. Noraniza Idris), Apadehal (2025 Mix), Jiwa Raga, ME[MAHA]MI, Nak Buat Cane? dan Jalan Keluar.

Menurut Bunga, pemilihan lagu untuk album ini bukan satu proses mudah memandangkan banyak material yang telah dihasilkan sepanjang dua tahun pembikinan album tersebut.

“Bukan senang nak isi 10 lagu dalam satu album. Saya dan pasukan banyak kali berbincang untuk pilih lagu terbaik. Ada lagu yang ditolak dan ada yang dipilih semula selepas perbincangan panjang. Tapi saya puas hati dengan hasil akhirnya,” ujarnya.

Dalam aspek visual pula, Bunga mempersembahkan muzik video seperti ME[MAHA]MI, Tak Tidur Malam dan Dengarkanlah dalam bentuk penceritaan yang menyerupai filem pendek, membawa penonton meneroka sisi lain jiwanya.

Scroll to Top