London: Carlos Alcaraz memulakan misi untuk merangkul gelaran ketiga berturut-turut dalam saingan lelaki Wimbledon, manakala pemain nombor satu dunia wanita, Aryna Sabalenka bakal menjadi tumpuan utama apabila Grand Slam gelanggang rumput itu bermula hari ini.
Sebagai daya tarikan utama pada Kejohanan ke-138, Alcaraz akan membuka tirai perlawanan di Centre Court apabila pemain nombor dua dunia itu berdepan pemain Itali berusia 38 tahun, Fabio Fognini.
Ia akan menjadi kejutan besar jika Alcaraz yang tidak pernah tewas pada pusingan pertama Grand Slam dalam 17 penampilan, menjadi juara lelaki ketiga yang mengalami kekalahan perlawanan pembukaan di Wimbledon selepas Manuel Santana pada 1967 dan Lleyton Hewitt pada 2003.
Selepas menewaskan Novak Djokovic dalam dua final Wimbledon yang lalu, Alcaraz tiba di barat daya London dengan harapan untuk menyertai kumpulan elit ikon Wimbledon.
Kredibiliti pemain Sepanyol berusia 22 tahun itu di gelanggang tanah liat sudah mantap, tetapi dia juga dinamik di gelanggang rumput.
Alcaraz memenangi 29 daripada 32 perlawanan peringkat Jelajahnya di permukaan itu, dengan kekalahan terakhir di Wimbledon adalah menentang Jannik Sinner di pusingan 16 terakhir pada 2022.
Alcaraz sedang berusaha untuk menjadi pemain kelima dalam Era Terbuka yang memenangi sekurang-kurangnya tiga gelaran Wimbledon berturut-turut selepas juara tujuh kali Djokovic, Bjorn Borg, Roger Federer dan Pete Sampras.
Jika dia mencapai sasaran itu, Alcaraz akan menjadi pemain kedua termuda dalam Era Terbuka yang memenangi enam gelaran Grand Slam lelaki selepas Borg, yang mencapai pencapaian itu pada 1978.
“Saya datang ke sini dengan berfikir bahawa saya benar-benar mahu memenangi gelaran itu, saya benar-benar mahu mengangkat trofi. Saya tidak berfikir tentang berapa ramai pemain yang melakukannya, memenangi tiga Wimbledon berturut-turut,” kata Alcaraz, yang bangkit daripada ketinggalan dua set dalam kemenangan epik final Terbuka Perancis menentang pemain nombor satu dunia Sinner pada Jun lalu.
“Saya hanya berfikir bahawa saya mahu mempersiapkan diri saya dengan cara yang terbaik. Jelas sekali saya berasa sangat yakin sekarang.”
Edisi terbaharu Wimbledon bermula di tengah-tengah gelombang haba singkat di London.
Suhu di Wimbledon dijangka meningkat kepada 33 darjah Celsius yang membahang hari ini menjadikan cuaca itu cabaran bagi pemain dan penonton.
Aryna pula berazam untuk kekal tenang apabila pilihan utama itu memulakan kempennya menentang pemain kelayakan Kanada, Carson Branstine di Court One.
Pemain Belarus berusia 27 tahun itu adalah juara Grand Slam tiga kali, tetapi mengalami kekalahan perit tiga set dalam final Terbuka Australia dan Terbuka Perancis tahun ini.
Dia tewas kepada Madison Keys di Melbourne dan Coco Gauff di Paris, dengan kekalahan terakhir itu mencetuskan kemarahan daripada pemain yang tewas itu.
Dia dikritik hebat kerana mendakwa kekalahan Roland Garros adalah disebabkan kesilapannya sendiri dan bukannya prestasi Gauff.
Aryna kemudian meminta maaf kerana menyifatkan perlawanan itu sebagai final terburuk yang pernah dimainkannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




