Alcaraz gegar kota Rom

Alcaraz gegar kota Rom

Rom: Carlos Alcaraz muncul juara Terbuka Itali, awal pagi tadi selepas menewaskan Jannik Sinner dalam dua set, namun beliau menjangkakan lawannya itu akan menjadi ancaman serius di Roland Garros.

Alcaraz menyelamatkan dua mata akhir pada penghujung set pertama sebelum menguasai tie-break dan akhirnya menang 7-6 (7/5), 6-1 sekali gus kemenangan keempat berturut-turut ke atas pemain nombor satu dunia itu.

Pemain Sepanyol itu menamatkan rekod 26 kemenangan berturut-turut milik Sinner untuk merangkul gelaran Rom pertamanya dan gelaran Masters 1000 ketujuh dalam kerjayanya, sekali gus menafikan impian Itali untuk melihat juara lelaki pertama sejak Adriano Panatta pada 1976.

Alcaraz juga pemain terakhir menewaskan Sinner iaitu di final Terbuka China tahun lalu.

Pertemuan di Rom itu berkemungkinan menjadi bayangan kepada final Terbuka Perancis, dengan Sinner dan Alcaraz dijangka berada dalam undianberbeza apabila Alcaraz kembali ke ranking nombor dua dunia hari ini.

Alcaraz yang menewaskan Sinner pada separuh akhir lima set tahun lalu sebelum memenangi gelaran di Roland Garros, tidak meragui potensi besar pemain Itali itu di Paris.

“Prestasi dia dalam kejohanan ini sangat luar biasa selepas tiga bulan tanpa bermain, tanpa satu pun kejohanan,” kata Alcaraz.

“Apa yang dia lakukan memang menakjubkan. Ia sesuatu yang patut saya hormati. Saya pasti dia akan menjadi lebih baik dan lebih kuat. Minggu latihan ini akan membuatkan dia rasa lebih selesa.

“Jika dia menang beberapa perlawanan di Roland Garros dan mara jauh, dia akan jadi lebih kuat. Dia akan jadi lawan yang sangat berbahaya di Paris.”

Alcaraz meraih gelaran ketiganya musim ini selepas akhirnya mengatasi Sinner dan menyepikan lebih 10,000 penyokong di pusat gelanggang Foro Italico.

Dia memenangi final keempat musim ini dan menghantar mesej jelas dirinya berada hampir di tahap terbaik menjelang Grand Slam kedua tahun ini.

“Menewaskan Jannik dan menang di Rom, kedua-dua perkara ini memberi keyakinan besar untuk ke Paris,” kata Alcaraz.

“Dia antara pemain terbaik dunia. Tak kisahlah dia tidak bermain selama tiga bulan. Setiap kejohanan disertai, dia bermain dengan cemerlang.

“Rekodnya membuktikan dia hampir menang setiap perlawanan.Sebab itu saya perlu fokus sepenuhnya bila berdepan dengannya. Jika saya tidak bermain 10 daripada 10, memang mustahil untuk mengalahkannya.”

Alcaraz juga satu-satunya pemain yang berjaya menewaskan Sinner dalam final kejohanan jelajah ATP sejak awal 2024, ketika pemain Itali itu mula melonjak ke puncak tenis lelaki dan memenangi tiga gelaran Grand Slam.

Pemain berusia 22 tahun itu juga mempamerkan prestasi mengagumkan sepanjang musim gelanggang tanah liat meskipun mengalami kecederaan paha yang menyebabkan dia terlepas peluang beraksi di Terbuka Madrid.

Kejayaan di Rom ini merupakan gelaran Masters 1000 kedua tahun ini buat Alcaraz selepas memenangi Monte Carlo bulan lalu.

Dia juga mara ke final di Barcelona.Walaupun sekadar muncul naib juara, keputusan ini tetap satu pencapaian besar buat Sinner, yang beraksi buat kali pertama selepas digantung tiga bulan kerana gagal ujian doping dua kali pada Mac tahun lalu.

Namun, kepulangan Sinner tetap memberi isyarat dia bakal mencabar kejuaraan di Roland Garros, walaupun dengan kekurangan minit permainan selepas kali terakhir beraksi ketika mempertahankan gelaran Terbuka Australia pada Januari lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top