Melbourne: Carlos Alcaraz memulakan misinya memburu gelaran Grand Slam dengan penuh keazaman apabila turun beraksi di Terbuka Australia, Ahad ini, sambil menyifatkan dirinya “lapar” untuk menjulang trofi yang masih belum pernah dimenanginya, manakala Aryna Sabalenka pula tampil fokus memburu kejuaraan ketiga di Melbourne.
Kejohanan Grand Slam pertama musim ini berlangsung selama 15 hari buat kali ketiga berturut-turut, langkah yang diambil bagi mengurangkan perlawanan berlarutan hingga lewat malam.
Alcaraz selaku pilihan utama amat berhasrat memenangi Terbuka Australia selepas gagal melepasi peringkat suku akhir dalam empat penampilan terdahulu di bumi Australia.
Gelaran itu juga satu-satunya yang belum melengkapkan koleksi kejuaraan utama pemain Sepanyol itu, yang kini sudah memenangi dua Terbuka Perancis, dua Terbuka AS dan dua Wimbledon.
“Inilah sasaran utama saya tahun ini,” kata Alcaraz, yang akan membuka kempen dalam perlawanan sesi malam di Rod Laver Arena menentang wakil tuan rumah, Adam Walton.
“Saya benar-benar ‘lapar’ untuk gelaran ini, lapar untuk mendapatkan keputusan terbaik di sini,” katanya.
Jika berjaya melengkapkan Grand Slam, Alcaraz akan menyertai kelompok elit sebagai pemain lelaki keenam memenangi keempat-empat gelaran utama selepas Andre Agassi, Roger Federer, Rafael Nadal, Novak Djokovic dan Rod Laver.
Dia juga akan menjadi yang termuda melakukannya, mengatasi rekod Nadal yang berusia 24 tahun ketika mencapai kejayaan itu.
Namun, laluan Alcaraz dijangka berliku dengan kehadiran juara bertahan dua kali dari Itali, Jannik Sinner, yang kini berada pada tahap kecergasan terbaik.
Sinner, yang menewaskan Alexander Zverev pada final tahun lalu sebelum menjuarai Wimbledon, membuka kempen menentang pemain Perancis, Hugo Gaston.
“Kami bekerja keras dari segi fizikal,” kata Sinner.
“Aspek fizikal kini sangat penting kerana perlawanan boleh menjadi panjang dan sengit. Anda perlu berada pada tahap kecergasan tertinggi,” ujarnya.
Sinner berpotensi bertemu Djokovic di separuh akhir sebelum kemungkinan berdepan Alcaraz di final.
Djokovic pula berpeluang memintas rekod Margaret Court sebagai pemegang gelaran Grand Slam terbanyak dengan 25 kejuaraan sekiranya berjaya menewaskan pencabar muda, namun dia terlebih dahulu perlu melepasi cabaran awal menentang pemain Sepanyol, Pedro Martinez.
Dalam saingan wanita, pemain nombor satu dunia Sabalenka memulakan kempen menentang pemain wildcard Perancis, Tiantsoa Rakotomanga Rajaonah, sebelum aksi Alcaraz di Rod Laver Arena.
Pemain Belarus itu turun dengan misi menebus kekecewaan tahun lalu selepas tewas mengejut di final kepada Madison Keys ketika memburu kejuaraan ketiga berturut-turut.
“Saya tidak terlalu memikirkan keputusan tahun lalu,” kata Sabalenka, yang baru sahaja menjuarai kejohanan Brisbane minggu lalu.
“Namun sudah tentu saya mahu melakukan sedikit lebih baik kali ini,” katanya.
Pencabar utama Sabalenka, Iga Swiatek, turut mengintai peluang melengkapkan Grand Slam di Melbourne, meskipun belum pernah melepasi separuh akhir.
“Sudah tentu ia satu impian menjadi kenyataan,” kata pemain Poland itu, yang akan memulakan aksi menentang pemain kelayakan dari China, Yuan Yue.
© New Straits Times Press (M) Bhd



