Alcaraz mara ke pusingan keempat Wimbledon

Alcaraz mara ke pusingan keempat Wimbledon

London: Carlos Alcaraz mengelak daripada senarai korban besar-besaran apabila mara ke pusingan keempat Wimbledon, awal pagi tadi.

Namun, bintang tenis Sepanyol itu terpaksa bekerja keras sebelum mengatasi pemain ranking ke-125 dunia dari Jerman, Jan-Lennard Struff, 6-1, 3-6, 6-3, 6-4.

“Ia sangat mencabar. Saya perlu fokus setiap mata kerana gaya permainannya memang sesuai untuk permukaan rumput, dengan servis deras,” kata Alcaraz, 22, yang memburu gelaran Wimbledon ketiga berturut-turut.

“Saya rasa tertekan sepanjang permainan, terpaksa bertahan banyak kali ketika servis sendiri. Tapi saya bangga kerana tetap melawan dan terus percaya,” ujarnya yang akan bertemu pemain Russia, Andrey Rublev di pusingan keempat.

Walaupun membuat 28 kesilapan sendiri, Alcaraz, yang disaksikan Gary Lineker dan Anthony Joshua di Centre Court, tetap berjaya menjinakkan Struff menerusi detik-detik magis.

Pilihan kelima dari Amerika Syarikat, Taylor Fritz menewaskan Alejandro Davidovich Fokina 6-4, 6-3, 6-7 (5/7), 6-1, mengelak perlawanan lima set buat kali ketiga berturut-turut.

Pemain tuan rumah, Cameron Norrie menewaskan Mattia Bellucci untuk mara ke suku akhir, pencapaian terbaiknya sejak 2022.

Bintang muda Brazil, Joao Fonseca pula tersingkir di tangan pemain kelayakan dari Chile, Nicolas Jarry, manakala pilihan ke-10, Ben Shelton hanya mengambil masa 71 saat untuk menyudahkan baki dua mata perlawanan menentang Rinky Hijikata selepas perlawanan tergendala akibat cahaya malap.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top