Alcaraz miliki gabungan kehebatan tiga legenda

Alcaraz miliki gabungan kehebatan tiga legenda

London: Kecemerlangan Carlos Alcaraz dalam Jelajah ATP sering dibandingkan dengan Rafael Nadal, bukan sahaja kerana mereka berasal dari Sepanyol, tetapi juga disebabkan gaya permainan yang hampir sama.

Namun, dari semasa ke semasa, Alcaraz mempamerkan gaya permainan lebih lengkap, dan legenda tenis Amerika Syarikat (AS), Andre Agassi percaya pemain muda itu dapat menggabungkan kualiti dimiliki Nadal, Novak Djokovic dan Roger Federer.

Bercakap kepada laman rasmi ATP menjelang Piala Laver di San Francisco, Agassi memuji pencapaian Alcaraz serta keupayaannya menggabungkan kelebihan tiga pemain terhebat dunia tenis itu.

“Tiada tempat di dunia yang dia pergi tanpa menjadi kegemaran penonton. Dan ia memang jelas. Apa yang dia bawa ke dalam sukan ini adalah gabungan generasi hebat yang kita ada sebelum ini.

“Saya tahu Novak masih bermain, tetapi Novak, Roger dan Rafa – dia (Alcaraz) seperti gabungan mereka bertiga dalam satu.

“Dengan pukulannya seperti Rafa, pertahanan sekuat Novak, serta sentuhan dan rasa permainan seperti Federer. Melihat semua itu hadir dalam diri seorang pemain di gelanggang tenis adalah sesuatu yang luar biasa,” kata Agassi.

Patrick Rafter, bekas pemain nombor satu dunia dan penolong kapten Team World di bawah Agassi, turut kagum dengan permainan Alcaraz, terutama dari segi kuasa dan pergerakan kakinya.

“Dia boleh menghasilkan pukulan bertenaga dari mana-mana posisi dan tiada pemain lain yang memiliki keupayaan sebegitu,” kata Rafter.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top