Alcaraz tamat kisah dongeng Tarvet, Jasmine tersingkir

Alcaraz tamat kisah dongeng Tarvet, Jasmine tersingkir

London: Carlos Alcaraz menamatkan impian Oliver Tarvet di Wimbledon semalam apabila dia menewaskan pemain amatur Britain itu dalam straight set untuk mara ke pusingan ketiga, manakala finalis tahun lalu Jasmine Paolini menyertai senarai pemain bintang yang tersingkir.

Beberapa pilihan utama tersingkir seawal pusingan pertama di All England Club tetapi Alcaraz dan pemain nombor satu dunia wanita, Aryna Sabalenka, mengelak kejutan di pusingan kedua dalam aksi di Centre Court.

Juara bertahan Alcaraz mengambil masa dua jam 17 minit untuk menundukkan pemain ranking ke-733 dunia, Tarvet yang mempamerkan potensi mengagumkan hingga mendapat tepukan gemuruh daripada penonton tuan rumah.

“Pertama sekali, saya ingin beri pujian besar kepada Oliver. Dalam perlawanan keduanya di kejohanan utama, saya suka corak permainannya,” kata pemain Sepanyol itu selepas kemenangan 6-1, 6-4, 6-4.

“Saya tahu saya perlu bermain tenis terbaik saya. Saya sangat gembira dengan prestasi tetapi pujian besar juga untuk dia.”

Alcaraz kini menang 20 perlawanan berturut-turut yang menyaksikan dia menjuarai Rome Masters, Terbuka Perancis dan Kejohanan Queen’s Club.

Pemain berusia 22 tahun itu yang menewaskan Jannik Sinner dalam final di Roland Garros bulan lalu menang 31 daripada 34 perlawanan di permukaan rumput dengan kekalahan terakhirnya di Wimbledon ialah kepada Sinner dalam pusingan keempat pada 2022.

Pilihan kedua kejohanan itu berharap menjadi lelaki kelima dalam era Terbuka yang memenangi sekurang-kurangnya tiga gelaran Wimbledon berturut-turut selepas Bjorn Borg, Pete Sampras, Roger Federer dan juara tujuh kali Novak Djokovic.

Sebaliknya, Tarvet yang tidak dikenali baru sahaja memulakan kerjaya tenisinya dan tidak dapat mengambil semua hadiah wangnya di Wimbledon.

Sebagai pelajar di Universiti San Diego, pemain berusia 21 tahun itu perlu mengekalkan status amatur dan mesti melepaskan sebahagian besar pendapatannya.

Sementara Alcaraz juara lima kali Grand Slam, Tarvet baru bermain dalam perlawanan utama kejohanan Grand Slam kedua selepas melalui tiga pusingan kelayakan dan menewaskan Leandro Riedi dalam pusingan pertama.

“Ia memang sesuatu yang istimewa. Bukan setiap hari anda dapat bermain menentang antara pemain terbaik dunia. Saya rasa saya berjaya menikmati detik itu dan bermain tenis yang baik,” kata Tarvet.

Dalam dua hari pertama, lapan daripada sepuluh pilihan utama dalam acara perseorangan lelaki dan wanita tersingkir sekali gus satu rekod Grand Slam dalam era Terbuka.

Pilihan kedua Coco Gauff, pilihan ketiga Jessica Pegula dan pilihan kelima Zheng Qinwen semuanya tewas dalam pusingan pertama.

Manakala pilihan keempat dari Itali, Jasmine menjadi pemain seterusnya yang tumbang dalam pusingan kedua. Dia yang ditewaskan Barbora Krejcikova pada final Wimbledon 2024, tewas 4-6, 6-4, 6-4 kepada pemain Rusia ranking ke-62 dunia, Kamilla Rakhimova.

Namun, Aryna mengelakkan kejutan apabila mengatasi Marie Bouzkova (ranking ke-48) 7-6 (7/4), 6-4 dalam satu perlawanan menyaksikan banyak pukulan kuat.

Pemain Belarus itu, yang mengalami kekalahan menyakitkan pada final Terbuka Australia dan Terbuka Perancis tahun ini, meledakkan 41 ‘winner’ dalam perlawanan berlangsung selama satu jam 35 minit.

“Sejujurnya, sangat menyedihkan melihat begitu ramai pemain utama tewas, tetapi lebih baik fokus pada diri sendiri,” kata juara Grand Slam tiga kali itu. “Saya harap tiada lagi kejutan dalam kejohanan ini!”

Lawan seterusnya bagi Aryna ialah pemain Britain, Emma Raducanu, juara Terbuka AS 2021, yang menewaskan juara Wimbledon 2023 Marketa Vondrousova 6-3, 6-3.

Pilihan keenam dan juara Terbuka Australia, Madison Keys, turut mara apabila menewaskan pemain Serbia, Olga Danilovic, 6-4, 6-2.

Dalam acara lelaki, 13 pemain pilihan tewas dalam pusingan pertama, memecahkan rekod kejohanan sebelum ini (11 pemain) dan menyamai rekod Terbuka Australia 2004 untuk jumlah tertinggi di Grand Slam.

Pilihan ke-12 dari Amerika Syarikat, Frances Tiafoe, menjadi pemain lelaki utama terbaru yang mengalami kekalahan awal, tewas 4-6, 6-4, 6-3, 7-5 kepada pemain Britain ranking ke-61, Cameron Norrie.

Namun, pilihan kelima Taylor Fritz mengelakkan nasib yang sama, apabila memenangi perlawanan lima set berturut-turut buat kali kedua berturut-turut di gelanggang Court One menentang Gabriel Diallo untuk mara.

Juara Eastbourne itu, yang bermain dalam tiga hari berturut-turut sejak kejohanan bermula, diuji sepenuhnya oleh pemain Kanada itu tetapi memenangi set terakhir 6-3.

“Ia perlawanan yang sangat sukar, esok saya hanya akan berlatih ringan,” kata pemain AS itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top