Alcatraz: Penjara ketat di tengah pulau

Alcatraz: Penjara ketat di tengah pulau

NAMA Alcatraz kembali menjadi perbualan hangat apabila bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, baru-baru ini menyatakan hasrat untuk menghidupkan semula penjara ikonik yang terletak di Teluk San Francisco itu.

Pulau Alcatraz lama terukir dalam budaya popular Amerika Syarikat, terutama selepas kisah pelarian tiga banduan pada 1962 yang menginspirasikan filem terkenal “Escape from Alcatraz” yang dibintangi Clint Eastwood.

Menurut laporan BBC, tiga banduan yang berjaya meloloskan diri itu ialah Frank Morris dan adik-beradik Clarence dan John Anglin, yang melakukan tindakan berani itu pada Jun 1962.

Mereka menggunakan cantuman kertas dilekatkan pada katil untuk mengaburi mata pengawal, sebelum menyelinap keluar melalui saluran pengudaraan.

Meskipun usaha pencarian besar-besaran dilakukan, ketiga-tiga banduan itu tidak ditemukan. Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menyimpulkan kemungkinan besar mereka lemas di perairan Teluk San Francisco yang sejuk dan berbahaya.

Namun, ia bukanlah satu-satunya insiden dalam sejarah Alcatraz. Perkhidmatan Taman Negara merekodkan 14 percubaan untuk meloloskan diri secara berasingan membabitkan 36 banduan dari penjara berkenaan.

Alcatraz, yang pada asalnya sebuah penempatan tentera, menghentikan operasinya sebagai penjara pada 1963 selepas 29 tahun. Penutupannya disebabkan oleh kos operasi yang sangat tinggi.

Menurut AFP, lokasinya yang terpencil menyebabkan kos operasi Alcatraz tiga kali ganda lebih mahal berbanding penjara lain di AS. Segala keperluan, termasuk makanan, bekalan, bahan api, dan air minuman, perlu diangkut ke pulau itu setiap minggu.

Selain itu, kerja penyelenggaraan dan pemulihan yang mendesak pada saat penutupannya sehingga menelan kos hingga AS$5 juta (kira-kira RM21 juta). Pihak berkuasa akhirnya memutuskan adalah lebih ekonomi untuk membangunkan penjara baharu di daratan.

Seperkara yang menarik, Pulau Alcatraz juga pernah diduduki selama 19 bulan, bermula pada November 1969, oleh aktivis Orang Asli Amerika yang menuntut pengembalian tanah persekutuan yang dianggap terbengkalai.

Sejak tahun 1973, Alcatraz bertransformasi menjadi destinasi pelancongan popular. Ia kini menarik lebih dari satu juta pengunjung setiap tahun yang ingin menjejaki sejarah kelamnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top