Aleena genggam skrol, terus buru gemilang di pentas dunia

Aleena genggam skrol, terus buru gemilang di pentas dunia

zhahirah@hmetro.com.my

Shah Alam: Jaguh boling padang negara, Aleena Ahmad Nawawi menamatkan pengajian Sarjana Muda Sains Sukan (Kepujian) pada Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-103.

Aleena menerima skrol dalam suasana penuh emosi disaksikan keluarga, rakan serta pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR).

Mengimbangi latihan pusat, kejohanan dan tugasan akademik bukan perkara mudah baginya.

“Latihan dan tugasan kadang-kadang bertembung, tapi saya tetap letakkan pendidikan sebagai keutamaan,” katanya.

Aleena berkata, sokongan pensyarah FSR banyak membantunya menyusun komitmen sebagai atlet negara.

“Pensyarah sangat memahami jadual saya sebagai atlet sepenuh masa,” katanya.

Dia turut menzahirkan penghargaan kepada rakan-rakan yang menjadi penguat sepanjang pengajian.

Sepanjang berada di kampus, Aleena kekal aktif mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.

Aksinya membantu Malaysia mengekalkan status sebagai kuasa besar boling padang di Asia.

Di UiTM, Aleena sering menjadi rujukan dan inspirasi kepada atlet lain yang bergelut menyeimbangkan akademik dan latihan.

FSR dalam kenyataan menyatakan rasa bangga terhadap pencapaian Aleena yang berjaya cemerlang dalam dua dunia serentak.

Kejayaan itu selari dengan usaha UiTM melahirkan graduan yang holistik dan berdisiplin tinggi.

Tamat pengajian bukan penamat perjalanan buat Aleena.

Dia kini memberi tumpuan kepada dua kejohanan besar yang menantinya pada tahun depan.

Kejohanan pertama ialah Kejohanan Boling Padang Asia 2026 di India pada April.

Aleena turut dijadual beraksi di Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland pada Ogos.

“Saya mahu terus angkat nama Malaysia dan dalam masa sama menyumbang kepada pembangunan sukan negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top