Madrid: Alex Marquez mengakui dia tidak mungkin mampu menewaskan Marc Marquez untuk gelaran dunia MotoGP 2025 walaupun menjalani musim yang ‘sempurna’, namun menyifatkan dapat bersaing dengan abangnya itu sebagai satu penghormatan.
Sebahagian besar musim 2025 menyaksikan Alex menjadi pencabar utama abangnya dalam perebutan kejuaraan selepas meraih dua kemenangan Grand Prix (GP).
Namun Marquez terlalu dominan, memenangi 11 perlumbaan GP dan 14 perlumbaan pecut dalam perjalanan merangkul gelaran dunia ketujuhnya pada pusingan ke-17 daripada 22 perlumbaan musim ini.
Alex membiarkan jurang dengan abangnya semakin melebar akibat beberapa kesilapan dilakukannya, termasuk terjatuh di GP Belanda dan Republik Czech.
Namun dia mengakui, walaupun tanpa kesilapan itu, tiada cara untuk menewaskan Marquez dengan prestasi luar biasa yang dipamerkan musim ini.
“Saya rasa, walaupun kami lakukan semuanya dalam keadaan sempurna, ia masih belum cukup untuk menyaingi Marc atau memenangi kejuaraan.
“Masih ada kesilapan di Holland, kesilapan di Brno. Dia mencatat semua rekod mata dan statistik dan sebagainya.
“Berdepan pelumba seperitnya, anda memang tak boleh menang apa-apa. Itulah realitinya.
“Apabila anda kalah kepada salah seorang pelumba terbaik dalam sejarah, ia adalah satu penghormatan untuk dapat berlumba menentangnya,” kata Alex.
Alex kini berada di landasan tepat untuk menamatkan musim di tempat kedua keseluruhan, selepas memiliki kelebihan 88 mata ke atas Pecco Bagnaia hasil podium di GP Indonesia.
Pelumba Gresini itu boleh mengesahkan kedudukan selaku naib juara di Australia sekiranya berjaya menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 111 mata ke atas Bagnaia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




