Alex puas akhiri 'badi' abang

Alex puas akhiri 'badi' abang

Barcelona: Alex Marquez dari pasukan Gresini Racing menamatkan rekod kemenangan luar biasa abangnya, Marc Marquez dengan memenangi Grand Prix (GP) Catalonia di tanah air mereka semalam.

Kejayaan itu menebus kesilapannya selepas terjatuh ketika mendahului pada perlumbaan pecut kelmarin, sekali gus kemenangan perlumbaan kedua dalam kariernya.

Marc memenangi 15 perlumbaan pecut dan utama sebelum ini, dan sekiranya dia menang semalam, dia berpeluang merebut kejuaraan ketujuh di laman sendiri Ducati pada GP San Marino hujung minggu hadapan.

Namun, Alex mempunyai perancangan lain apabila dia ‘mengoyakkan skrip’ dan dengan baki tujuh pusingan lagi, jurang kejuaraan Marc dipotong kepada 182 mata, bermakna pelumba Ducati itu tidak boleh memenangi kejuaraan sekurang-kurangnya sehingga GPJepun akhir bulan ini.

Enea Bastianini dari pasukan Tech3 menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dan meraih podium pertama bersama pasukan itu, manakala Pedro Acosta dari KTM dan Fabio Quartararo dari Yamaha melengkapkan lima pelumba teratas.

“Ini memang rasa sangat hebat. Memang benar saya masih ada terbayang (kemalangan) dari perlumbaan semalam, tapi hari ini bila saya berada di atas motosikal, saya kata, ‘yang ini mesti saya bawa pulang, yang ini milik saya’,” kata Alex.

“Saya berjaya buat catatan masa yang baik dan sangat gembira untuk pasukan kerana dalam saat-saat sukar mereka sentiasa bersama saya, memberi semangat, dan kini kami kembali.”

Marc sebelum ini memberi amaran sepanjang hujung minggu bahawa adiknya itu mempunyai kelajuan terbaik, dan ia terbukti apabila Alex mencatat pusingan terpantas dan membina kelebihan setengah saat.

“Saya sudah buat yang terbaik, saya lakukan perlumbaan yang sempurna,” kata Marc malah memberi tabik kepada adiknya ketika Alex menikmati sorakan daripada penonton tuan rumah yang riuh.

“Dia lebih laju dan saya hanya cuba mengikutinya, tapi pada pusingan terakhir itu saya sudah berada di had. Saya memang agak bergelut.

“Tapi saya gembira untuk Alex, gembira untuk Ducati, dan gembira juga untuk diri saya kerana di litar yang sukar ini saya berjaya tamatkan perlumbaan di tempat kedua.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top