ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas pelumba Formula Satu (F1) negara, Alex Yoong Hanifah dilantik sebagai jurulatih skuad e-Racing kebangsaan bagi memperkukuhkan persiapan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya dan Sea 2027.
Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Muhammad Naim Al Amin Saharudin berkata, pelantikan berkenaan dibuat berdasarkan pengalaman luas dimiliki Alex dalam dunia perlumbaan.
Menurut beliau, Alex akan memulakan tugas secara sepenuh masa bermula April ini bagi memastikan program latihan skuad e-Racing negara lebih tersusun serta memberi impak positif kepada prestasi atlet.
“Untuk e-Racing, kami melihat kelebihan besar menerusi pengalaman dan kepakaran dimiliki Alex Yoong.
“Beliau akan bertugas sepenuh masa bermula April ini bagi memastikan program latihan lebih tersusun dan berimpak tinggi,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di BUkit Jalil, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Naim turut mengumumkan buat pertama kali atlet e-sukan negara disenaraikan dalam Program Podium MSN, sekali gus menjadi pengiktirafan rasmi terhadap pencapaian atlet bidang berkenaan.
“Bagi kategori sepenuh masa, kita sudah memuktamadkan beberapa judul termasuk eFootball, Identity V dan e-Racing.
“Skuad Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) wanita pula diletakkan dalam kategori separuh podium manakala skuad lelaki berada dalam kategori berfasa,” katanya.
Mengulas mengenai persiapan ke Sukan Asia, beliau berkata, sebanyak 11 judul akan dipertandingkan dengan Malaysia sudah layak secara automatik bagi acara Honor of Kings.
Menurutnya, baki 10 lagi judul akan ditentukan menerusi pusingan kelayakan yang akan dijalankan kelak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




