Alfredo persoal keputusan gol, akui kelebihan serangan The Cats

Alfredo persoal keputusan gol, akui kelebihan serangan The Cats

Ezra Kamilea

sukan@hmetro.com.my

KUCHING: Ketua jurulatih Kelantan City FC, Alfredo Carlos Gonzalez Machado, mempersoalkan beberapa keputusan pengadil yang menurutnya mempengaruhi perjalanan perlawanan ketika pasukannya tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tewas dengan agregat 1-4 kepada Kuching City FC.

Beliau mengakui ragu terhadap tiga jaringan lawan, termasuk satu gol yang didakwanya berada dalam kedudukan ofsaid dan satu lagi yang dipercayainya berpunca daripada kekasaran.

Menurutnya, keputusan berkenaan memberi kesan besar terhadap keseimbangan permainan, meskipun anak buahnya berusaha memberikan tentangan dan mencari kemenangan menerusi corak permainan sendiri.

“Saya mempunyai keraguan besar terhadap jaringan-jaringan itu, bagi gol pertama, pemain saya berada pada garisan, gol kedua pula berada dalam kedudukan ofsaid, manakala gol ketiga berpunca daripada kekasaran, perkara ini mengubah perjalanan perlawanan,” katanya.

Alfredo bagaimanapun mengakui Kelantan City mengambil masa kira-kira 20 hingga 25 minit untuk mendapatkan rentak permainan sebelum pemainnya mula beraksi mengikut corak yang dirancang.

Katanya, pemain tetap berusaha memberikan yang terbaik dan cuba mendapatkan keputusan positif menerusi permainan bola sepak, walaupun berdepan tekanan daripada pasukan tuan rumah.

“Pada akhirnya, pemain saya sudah memberikan yang terbaik dan cuba memenangi perlawanan dengan bermain bola sepak,” katanya.

Dalam pada itu, Alfredo mengakui kekuatan serangan Kuching City menjadi antara faktor pemisah dalam perlawanan berkenaan, terutama menerusi keupayaan mereka mencipta ancaman di kawasan lawan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top