Algeria bergaya, sapu bersih Kumpulan E Piala Negara Negara Afrika

Algeria bergaya, sapu bersih Kumpulan E Piala Negara Negara Afrika

Rabat: Algeria mengesahkan status sebagai antara pasukan pilihan Piala Negara Negara Afrika apabila meneruskan rekod sempurna dengan kemenangan 3 1 ke atas Equatorial Guinea dalam aksi terakhir Kumpulan E, awal pagi tadi.

Kejayaan itu menyaksikan Algeria menamatkan saingan kumpulan dengan rekod 100 peratus kemenangan, meskipun menurunkan barisan kedua selepas lebih awal mengesahkan tiket selaku juara kumpulan.

Gol separuh masa pertama hasil sentuhan Zineddine Belaid, Fares Chaibi dan Ibrahim Maza sudah cukup untuk memastikan kemenangan selesa di Stade Moulay El Hassan.

Belaid membuka tirai jaringan pada minit ke 18 menerusi tandukan cantik selepas menerima sepakan sudut Anis Hadj Moussa, sekali gus memberi isyarat awal dominasi Algeria.

Enam minit kemudian, Maza pula berperanan sebagai arkitek apabila melorongkan hantaran dari kawasan sendiri kepada Chaibi yang memotong masuk sebelum melepaskan rembatan deras jarak dekat.

Sorakan penyokong Algeria semakin bergema apabila Maza yang berusia 20 tahun menambah gol ketiga pada minit ke 32 menerusi tandukan daripada umpanan silang Hadj Moussa.

Equatorial Guinea cuba bangkit selepas rehat dan berjaya meraih satu gol saguhati apabila pemain veteran Emilio Nsue melepaskan rembatan jarak jauh pada minit ke 50.

Namun itu sekadar gol hiburan buat Equatorial Guinea yang menamatkan kempen kumpulan tanpa sebarang mata, gagal mengulangi kejutan yang pernah mereka cipta pada edisi terdahulu.

Kemenangan ini turut memadam kenangan pahit Algeria yang pernah dikejutkan Equatorial Guinea pada Piala Negara Negara Afrika 2021 di Cameroon sehingga tersingkir awal selaku juara bertahan.

Algeria kini dijadual berdepan Republik Demokratik Congo pada pusingan 16 terakhir, dengan prestasi meyakinkan setakat ini menegaskan keupayaan mereka melangkah lebih jauh dalam kejohanan.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan E, Burkina Faso menewaskan Sudan 2 0 untuk muncul naib juara kumpulan, manakala Sudan tetap mara ke pusingan kalah mati sebagai antara pasukan tempat ketiga terbaik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top