'Alhamdulillah, kerinduan terhadap Eda terubat' – Ayah

'Alhamdulillah, kerinduan terhadap Eda terubat' – Ayah

Pasir Mas: Bapa kepada Eda Ezrin, Wan Ismail Wan Yusuf, 52, menzahirkan rasa syukur atas kepulangan anaknya ke tanah air.

“Alhamdulillah, akhirnya kerinduan terhadap Eda terubat juga dari hati seorang ayah. Saya hanya mahu bersyukur kepada Allah.

“Kalau dia bersalah, hukumlah saya sebagai ayah. Tapi kalau dia tak bersalah, kembalikanlah dia kepada kami.

“Biarpun jauh, saya dan ibunya tak pernah putus berdoa. Kami tak mahu kehilangan anak, kami hanya mahu dia diselamatkan,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Balai Polis Rantau Panjang malam ini.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Balai Polis Rantau Panjang malam ini mendapati ahli keluarga Eda turut menanti proses pelepasan penyanyi berkenaan yang sedang diambil keterangan oleh polis.

Media melaporkan Mahkamah Penjara Narathiwat membebaskan Eda, suaminya dan empat individu lain pada kira-kira 11 pagi waktu Thailand (12 tengah hari waktu tempatan) tadi selepas pihak pendakwa raya Thailand gagal mengemukakan saksi dan bukti bagi membuat rayuan terhadap keputusan sebelum ini.

Keenam-enam mereka sebelum ini ditahan atas dakwaan memiliki 6,059 pil Yaba pada 1 Nov lepas.

Permohonan pihak pendakwa untuk melanjutkan tempoh bagi mengemukakan rayuan buat kali keenam turut ditolak mahkamah pada Rabu.

Terdahulu, Eda dan Nur Aida dibawa keluar dari Sungai Golok, Narathiwat menggunakan van imigresen negara berkenaan pada kira-kira 7 malam selepas selesai proses dokumentasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top