'Alhamdulillah, mereka dapat keluar daripada perangkap Al-Arqam' – Nenek

'Alhamdulillah, mereka dapat keluar daripada perangkap Al-Arqam' – Nenek

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Trauma yang dirasai anak dan cucu akibat ketidakadilan dalam perkampungan Al-Arqam menyebabkan wanita warga emas berasal dari Perancis nekad menyelamatkan anak dan cucunya keluar daripada perkampungan berkenaan.

Warga emas, Christine Rohani Longuet, 81, yang kini menetap di Pulau Duyong di sini berkata, sehingga kini, dia tidak dapat melupakan peristiwa itu dan menjadi kenangan yang sukar untuk dilupakan.

“Peristiwa berlaku sekitar tahun 1980 dan saya menyaksikan trauma yang dirasai anak dan cucu-cucu akibat ketidakadilan dalam sistem gerakan berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, dia nekad dan berusaha keras untuk membawa keluar anak dan cucunya yang ketika itu berada di perkampungan berkenaan di Sungai Penchala, Selangor kerana melihat sesuatu yang tidak kena terhadap sistem kekeluargaan yang diamalkan gerakan Al-Arqam.

Katanya, kebajikan anak dan cucunya diabaikan sehingga menyebabkan mereka trauma.

“Alhamdulillah mereka dapat keluar daripada perangkap Al-Arqam dengan bantuan kerajaan,” katanya.

Terdahulu, cucu sulungnya yang dikenali sebagai Sabrina Bolivar tular selepas membuat pendedahan pengalaman hidup di dalam perkampungan Al-Arqam di media sosial baru-baru ini.

Sabrina yang kini menetap di Paris, Perancis mendedahkan ibunya, Maryam yang ketika itu adalah pelajar cemerlang dalam jurusan perubatan di sebuah universiti tempatan sanggup meninggalkan pengajian dan menyertai gerakan berkenaan.

Menurutnya, selepas menyertai gerakan itu, ibunya kemudian dikahwinkan dengan dua lelaki anggota gerakan termasuk bapanya yang sudah memiliki tiga isteri termasuk anak perempuan pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad.

Rohani yang menetap di Pulau Duyong sejak 1971 berkata, akibat pengabaian sewaktu berada di dalam gerakan Al-Arqam, anak perempuannya mengalami kemurungan serius sehingga kini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top