BAGHDAD – Selepas kemelut politik selama berbulan-bulan melanda Iraq, blok syiah utama iaitu Kerangka Penyelarasan akhirnya menamakan Ali al-Zaidi sebagai Perdana Menteri baharu.
Keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan beberapa calon lain dan turut mendapat lampu hijau Presiden Nizar Amedi yang kemudiannya melantiknya untuk menggalas peranan penting tersebut dan membentuk kerajaan baharu.
Pelantikan al-Zaidi, 40, dibuat selepas Baghdad berdepan kebuntuan untuk mencari calon kompromi yang boleh diterima oleh semua pihak termasuk kuasa luar.
Ahli politik veteran, Nouri al-Maliki yang dianggap tokoh pro-Iran yang kontroversi bertindak menarik diri daripada pencalonan selepas mendapat tentangan hebat daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Perdana Menteri semasa, Mohammed Shia al-Sudani pula gagal memperoleh sokongan untuk mengekalkan jawatan bagi penggal kedua.
Menariknya, al-Zaidi merupakan ahli perniagaan yang tidak mempunyai pengalaman dalam politik atau pentadbiran kerajaan.
Beliau dilahirkan di Baghdad dalam keluarga berpengaruh yang berasal dari wilayah selatan Dhi Qar dan membina kerjaya dalam sektor swasta serta akademik.
Al-Zaidi memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang undang-undang dan kewangan serta Ijazah Sarjana dalam perbankan dan kewangan. Selain itu, beliau juga merupakan ahli Persatuan Peguam Iraq.
Beliau mengetuai National Holding Company, sebuah konglomerat yang ditubuhkan pada 2017 dengan kepentingan dalam sektor pertanian, hartanah, perbankan, logistik dan tenaga boleh diperbaharui.
Selain itu, al-Zaidi juga terlibat dalam sektor pendidikan dan kesihatan sebagai Pengerusi Lembaga Universiti Shaab dan Institut Perubatan Ishtar.
Sebelum ini, beliau pernah mempengerusikan Bank Islam al-Janoob yang pernah dikenakan sekatan oleh Bank Pusat Iraq, sekali gus menarik perhatian orang ramai terhadap latar belakang kewangannya.

Beliau diberi tempoh 30 hari untuk membentangkan barisan Kabinet baharu pimpinannya kepada Majlis Perwakilan (Parlimen). – Foto Agensi
Galas tugas penting
Pemilihan al-Zaidi dibuat pada saat akhir selepas Kerangka Penyelarasan gagal menamakan calon sebelum tarikh akhir ditetapkan pada 26 April lalu.
Selepas penyingkiran al-Maliki, blok itu cuba mencalonkan Bassem al-Badry, namun ditolak oleh pihak lain kerana dikhuatiri akan menguatkan pengaruh kem al-Maliki.
Akhirnya, al-Zaidi dipilih secara sebulat suara dalam tempoh hanya 25 minit sebagai calon kompromi yang tidak menimbulkan tentangan dalaman mahupun bantahan dari Washington.
Penganalisis berpendapat ketiadaan pengalaman politik menjadi kelebihan utama al-Zaidi kerana beliau dilihat sebagai pemimpin ‘neutral’ dalam suasana politik yang berpecah-belah.
Blok tersebut berharap al-Zaidi dapat berurusan dengan AS dan komuniti antarabangsa melalui pendekatan ekonomi yang pragmatik berbanding retorik ideologi.
Visi beliau tertumpu kepada pembaharuan institusi, memperkasakan golongan muda dan mengubah ekonomi Baghdad ke arah sistem yang lebih terbuka serta mampan.
Al-Zaidi kini mempunyai tempoh 30 hari untuk membentangkan barisan Kabinet baharu pimpinannya kepada Majlis Perwakilan (Parlimen) dan mendapatkan undi sokongan daripada sekurang-kurangnya 167 ahli. Blok syiah yang memilih beliau menguasai 185 daripada 329 kerusi di dewan tersebut.
Jika memperoleh kelulusan Majlis Perwakilan, beliau akan mewarisi sebuah negara yang sedang meniti ‘tali geopolitik’ yang sangat rapuh dan terperangkap dalam konflik antara AS bersama Israel dengan Iran.
Pemimpin muda itu juga perlu mengurus kesan ekonomi daripada penutupan Selat Hormuz, membanteras masalah rasuah yang sudah lama berakar umbi dan menentukan hala tuju Pasukan Mobilisasi Popular (PMF) di tengah-tengah ketegangan serantau yang semakin memuncak.
Pada masa yang sama, Washington cuba mengehadkan pengaruh kumpulan bersenjata pro-Iran dalam PMF berikutan mereka pernah melancarkan serangan terhadap kepentingan AS dan beberapa negara Teluk sebagai simbol solidariti terhadap Teheran. – Agensi



