syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi rock, Ali XPDC kini aktif berniaga secara online dengan menjual barangan ‘preloved’ miliknya menerusi platform TikTok bersama pasukannya dan Empire Daie Ejay Collection.
Menurut Ali, inisiatif yang bermula sejak tiga minggu lalu itu menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada pelanggan di seluruh negara.
“Setakat ini, jualan barangan ‘preloved’ yang saya jalankan mendapat respon sangat baik.
“Pelanggan muncul dari pelbagai negeri dan sokongan mereka amat saya hargai,” katanya kepada Harian Metro.
Jualan dijalankan dari rumah secara atas talian, dengan siaran langsung (live) di TikTok yang diadakan setiap hari oleh pasukannya untuk mempromosikan pelbagai barangan termasuk pakaian dan aksesori peribadi.
Antara yang paling mencuri perhatian pembeli ialah koleksi motosikal milik Ali sendiri seperti Yamaha RX-Z, Suzuki Panther dan Suzuki V100, yang menjadi tarikan utama dalam sesi jualan.
Menariknya, pelanggan juga berpeluang memenangi hadiah istimewa berupa ketiga-tiga motosikal itu menerusi peraduan yang dianjurkan khas sebagai penghargaan kepada para penyokong.
“Saya dan pasukan turut menganjurkan pelbagai peraduan daripada pembelian madu jamu dan minyak wangi untuk memberi semangat dan penghargaan kepada mereka yang sentiasa menyokong kami,” katanya.
Hadiah-hadiah lain yang ditawarkan ialah pakej umrah, cat kereta percuma, barangan sunnah dan tiket percutian ke Turkiye.
© New Straits Times Press (M) Bhd



