Ali XPDC masih sedih teringat arwah isteri, mengaku tidak boleh menyanyi

Ali XPDC masih sedih teringat arwah isteri, mengaku tidak boleh menyanyi

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Cheras: Penyanyi Ali XPDC, 57, masih berasa sedih mengenangkan pengorbanan isterinya, Allahyarham Sharifah Azuwanna Syed Joned, 53, yang meninggal dunia akibat kanser payudara pada 6 April lalu.

Menurut Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail, sehingga kini walaupun sudah dua bulan isterinya itu ‘pergi’ buat selamanya, namun perasaan sedih dirasai tidak pernah hilang.

“Keadaan saya sekarang biasa-biasa saja. Tapi memang sedihlah bila teringatkan dia (arwah isteri). Sekarang kalau ke mana-mana pun dengan anak sulung saya yang uruskan.

“Bagi sumber pendapatan, saya sudah tidak menyanyi lagi. Saya tak boleh nyanyi pun. Memang saya tidak boleh menyanyi,” katanya kepada Harian Metro ketika ditanya berkaitan karier nyanyiannya ketika ini.

Terdahulu, Ali ditemui pada sidang media Perkampungan Tauheed 2.0: Seni, Dakwah. Perpaduan.” di Dewan Serbaguna Rumah Seri Kenangan Cheras (RSK), di sini, petang tadi.

Ditanya juga aktivitinya untuk meraih pendapatan kerana sudah tidak menyanyi, Ali yang popular dengan lagu Bunga Angkasa memberitahu dia kini aktif berniaga dengan menjual barangan secara ‘online’ di TikTok bersama Empire Daie Ejay Collection.

“Baru-baru ini, saya dapat menjual tiga buah motosikal selepas ‘live’ di TikTok. Jadi, dari situlah pendapatan saya dibayar menerusi komisyen. Saya pun tidak bersiaran langsung selalu, tapi jualan di TikTok memang membantu saya.

“Dari segi pendapatan saya, memang ia daripada hasil jualan di TikTok, Alhamdulillah. Saya sangat bersyukur pada rezeki Allah kerana saya perlu sibukkan diri dengan kerja untuk lupakan kesedihan,” katanya.

Ali yang kini bergelar datuk kepada seorang cucu perempuan berusia dua bulan, mengakui kehadiran cucunya juga adalah terapi dirinya untuk melupakan kesedihan hati yang dirasakan.

“Kalau nak kata ‘hilang sayap’ selepas ketiadaan isteri, memang saya rasainya. Tapi, Allah sudah berkehendak begitu dan saya harus menerimanya dengan reda serta sabar.

“Saya akan berusaha meneruskan kehidupan ini sebaiknya dan Alhamdulillah, tahap kesihatan saya juga semakin baik. Saya juga sudah boleh berjalan, insyaAllah,” ujarnya.

Sebelum ini, Ali dimasukkan ke Hospital Cyberjaya untuk menerima rawatan paru-paru berair dan jantung lemah sejak 24 Mac lalu, manakala isterinya, Allahyarham Sharifah Azuwanna dirawat di Hospital Putrajaya.

Bagaimanapun, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di hospital itu selepas dua minggu menerima rawatan dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bandar Baru Salak Tinggi pada sebelah malamnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top