mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi XPDC, Mohd Ali Ismail, 56, mengalami sesak nafas dan dimasukkan ke Wad Kecemasan di Hospital Cyberjaya, petang semalam.
Perkara ini dimaklumkan isterinya, Sharifah Azuwanna Syed Joned, 52, kepada kenalan suaminya.
Sharifah Azuwanna memohon semua pihak agar mendoakan kesembuhan terhadap suaminya.
Sementara itu, Instagram officialxpdc turut mengeluarkan kenyataan berkenaan keadaan kesihatan Ali.
“Official XPDC ingin memaklumkan bahawa saudara Ali XPDC (Mohd Ali Bin Ismail) telah mengalami sesak nafas,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Mereka turut memaklumkan keadaan Ali kini dilaporkan stabil.
“Sama-sama kita doakan saudara Ali segera sembuh dan diberikan kesihatan yang baik untuk meneruskan perjuangan XPDC bersama-sama anggota XPDC yang lain,” katanya.
Sebelum ini, Ali pernah dimasukkan ke wad kecemasan, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak pada 10 Julai lalu akibat masalah sama.
Kejadian berlaku ketika Sharifah Azuwanna membawa suaminya untuk membuat rawatan perubatan Islam untuk merawat penyakitnya di Ipoh, pada 9 Julai.
Ustaz yang membuat rawatan memaklumkan keadaan buah pinggang dan jantung Ali bengkak sedikit dan meminta dibawa ke klinik.
Semasa di klinik, Ali mengalami semput serta susah untuk bernafas sehingga doktor terpaksa melakukan pemeriksaan Elektrokardiogram (ECG) serta memaklumkan Ali ada serangan jantung dan meminta dia dirujuk ke hospital berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




