norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi, pelakon dan pengacara popular, Alif Satar, 35, terharu apabila dapat menjayakan program Geng Subuh Macam Jumaat yang dilakukannya di tanah air sebelum ini, berlangsung juga di Christchurch, New Zealand.
Lebih bermakna lagi, program itu dianjurkannya di Masjid Al Noor di sana yang pernah terpalit dengan insiden ‘berdarah’ pada 2019 lalu apabila mengorbankan puluhan jemaah yang menunggu solat Jumaat ketika itu.
Menerusi hantaran di Instagram (IG), Alif atau Muhammad Alif Mohd Satar berkata, dia tidak menduga ada rezeki untuk melakukan program Geng Subuh Macam Jumaat di masjid itu walaupun hanya dipenuhi tiga saf jemaah saja.
“Memang tak sangka ada rezeki untuk Geng Subuh Macam Jumaat di Masjid Al Noor, Christchurch. Dapat tiga saf pagi tadi dan ada jemaah perempuan yang turut serta juga.
“Lepas Subuh, sempat juga saya dan ‘the gang’ beramah mesra dengan komuniti Malaysia yang sudah lama tinggal di sini (Christchurch).
“Saya turut bergambar dengan abang Rahimi iaitu salah seorang jemaah yang ‘survive’ dalam insiden
serangan tembakan secara rambang di Christchurch (2019) yang berkongsi ceritanya.
“Dia (Rahimi) terkena peluru dari arah belakang dan menyebabkan alami kecederaan saraf yang kekal. Tapi, dia sangat bersyukur masih terselamat dalam insiden itu bersama anaknya,” kata Alif.
Menurut bapa tiga anak itu, segala pengalaman diceritakan Rahimi kepadanya akan dikongsikan menerusi tontonan video yang akan dimuatnaik di saluran YouTube nanti.
“Apapun, yang buat saya rasa tersentuh apabila diberitahu selepas kejadian itu (serangan tembakan rambang), orang tempatan banyak beri sokongan kepada komuniiti muslim di situ.
“Bahkan, sekarang sudah ada kumpulan ‘non muslim’ yang akan duduk depan masjid untuk ‘berjaga’ ketika orang muslim solat dalam masjid.
“Tidak hanya itu, saya juga dimaklumkan ramai yang ‘convert’ (masuk Islam) selepas mereka tahu dan belajar mengenai Islam. Tapi, sedih juga bila dapat tahu 51 orang terkorban ketika serangan itu,” katanya.
Ujar Alif, dia bagaimanapun tidak berpeluang berkunjung ke Perkampungan Sunnah Ke-10 di sana, namun sebagai musafir tetap berdoa untuk terus mengajak ramai orang ke arah kebaikan.
Difahamkan, Alif yang memulakan Geng Subuh Macam Jumaat sejak beberapa tahun lalu sudah meluaskan program itu hingga ke luar negara di New Zealand, Australia menerusi kenalannya, Sonny Bill.
© New Straits Times Press (M) Bhd




