Aliff Aziz juara GV8

KUALA LUMPUR – Penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz muncul juara dalam program realiti Gegar Vaganza (GV8) musim kelapan malam tadi.

Program yang disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu memperlihatkan Aliff menewaskan lima lagi peserta yang turut berjaya ke pentas akhir.

Beliau mempersembahkan tiga lagu merangkumi solo, duet dan battle.

Menerusi kemenangan itu Aliff meraih hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi.

Bagi lagu solo, Aliff menyampaikan lagu Sampai Syurga yang dipopularkan oleh Faizal Tahir.

Manakala, segmen duet pula Aliff digandingkan dengan penyanyi bervokal mantap Hafiz Suip yang mendendangkan lagu Dealova.

Beliau kemudian dipertemukan dengan Aweera untuk menyanyikan lagu Bangun dalam segmen battle.

Pada konsert akhir itu, Nikki Palikat menduduki tempat kedua dan membawa pulang wang tunai RM50,000.

Nikki mempertaruhkan lagu solo berjudul Terasing dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, single Mengapa yang disampaikan secara duet bersama Idayu dan Gangnam Style untuk segmen ‘battle’ bersama Suki Low.

Suki pula menduduki tempat ketiga dengan memenangi hadiah wang tunai RM30,000.

Tempat keempat diraih Adibah Noor yang membawa pulang wang tunai RM20,000.

Biarpun berada pada kedudukan kelima dan keenam, Azan Scan dan Aweera masing-masing tidak pulang dengan tangan kosong.

Azan Scan membawa pulang hadiah wang tunai RM15, 000 manakala Aweera beroleh RM10,000.

Pentas akhir GV8 diadili juri tetap, Datuk Ramli MS; bintang legenda Indonesia, Hetty Koes Endang; pensyarah dan guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat serta penyanyi hip-hop tersohor, Joe Flizzow sebagai juri undangan.

Program realiti nyanyian dihoskan Nabil Ahmad dan Jihan Muse selama 10 minggu itu turut disertai kumpulan Shidee, Nico G, Datuk Fazley Yaakob, Upiak, Bandi Amuk, Saiful Apek & Yassin (SA.YA) dan Ani Mayuni. – MalaysiaGazette