Pelakon dan penyanyi sensasi, Aliff Aziz mencuri tumpuan selepas meninggalkan komen berbentuk emoji love berona merah di hantaran milik aktres, Ruhainies.
Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Ruhainies berkongsi beberapa foto memaparkan dirinya bersama seekor kuda yang diambil ketika sedang bercuti di Arab Saudi.
“Take me back,” tulisnya ringkas dalam muat naik itu.
Menjengah ke ruangan komen, komen yang ditinggalkan Aliff itu menerima pelbagai respons daripada netizen.
Ramai dalam kalangan netizen meminta Aliff dan Ruhainies segera mendirikan rumah tangga, malah ada juga yang mengatakan aktor itu seakan ‘try hard’ menunjuk rasa cintanya terhadap selebriti itu.
Aliff dan Ruhainies sebelum ini berdepan tuduhan di bawah Seksyen 27(a) dan 27(b) Akta Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559], atas kesalahan berkhalwat yang mencetuskan perhatian ramai.
Terdahulu, pada 20 Jun tahun lalu, pasangan selebriti itu dilihat hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi menyambung proses bon jaminan berkaitan kes yang dikatakan berlaku di sebuah kondominium eksklusif di tengah ibu kota.
Laporan media ketika itu menyebut seorang pelakon lelaki bergelar suami orang dan pasangannya, seorang aktres popular, ditahan selepas disyaki tinggal bersama di kediaman mewah tersebut.
Difahamkan, serbuan dilakukan oleh pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) selepas menerima maklumat daripada orang awam.
Pasangan yang ketika itu sedang sibuk dengan komitmen penggambaran drama, dipercayai dicekup di unit kondominium milik pelakon wanita berkenaan.
Susulan kejadian hangat itu, Aliff dan Ruhainies segera tampil memberikan penjelasan masing-masing menerusi hantaran di Instagram dalam usaha meredakan kontroversi yang tercetus.
Aliff kemudiannya menegaskan, tiada sebarang perkara sumbang berlaku antara dirinya dan Ruhainies sewaktu serbuan dilakukan oleh pihak berkuasa agama.