sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas menakluki pentas Muay Thai menerusi gelaran dunia interim, jaguh negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib, kini memasang misi untuk membawa pulang satu lagi tali pinggang kejuaraan ke tanah air apabila berdepan juara dunia Thailand, Prajanchai Pongsuphan PK, pada 18 Disember ini.
Berbekalkan enam kemenangan berturut-turut, Aliff percaya momentum itu mampu menjadi bekalan penting untuk mencabar kehebatan lawan yang bakal ditemuinya dalam pertarungan lima pusingan kategori strawweight ONE Championship di Stadium Lumpinee, Bangkok.
Malah, petarung negara itu tidak berselindung mengenai impiannya untuk muncul juara sebenar, sekali gus menghadiahkan satu lagi kejayaan membanggakan buat Malaysia.
“Insya-Allah saya boleh bawa balik tali pinggang yang sebenar. Saya nak jadi juara yang sebenar. Insya-Allah kita boleh bawa balik satu lagi tali pinggang ke Malaysia,” katanya.
Pertarungan itu pastinya menjadi ujian besar buat Aliff yang kini menyandang gelaran juara dunia interim selepas mencipta kejutan menewaskan legenda Muay Thai Thailand, Sam-A Gaiyanghadao, Julai lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




