Aliff raih hampir RM1 juta dalam ONE Championship

Aliff raih hampir RM1 juta dalam ONE Championship

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dalam tempoh hanya dua tahun sejak menyertai ONE Championship, jaguh muay thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib sudah mengumpul hampir RM1 juta hasil daripada aksi cemerlangnya di pentas pertarungan berprestij itu.

Petarung berusia 21 tahun itu mengumpul keseluruhan AS$190,000 (RM805,710) sejak melakukan penampilan sulungnya dalam ONE Championship pada April 2023, hasil daripada kemenangan demi kemenangan serta bonus prestasi lumayan.

Daripada empat pertarungan awal (Road to ONE Championship), Aliff mencatat kemenangan bersih dan berjaya meraih AS$40,000 (RM169,638) apabila menerima bonus prestasi AS$10,000 (RM42,411) dalam setiap aksi.

Kecemerlangannya itu membuka jalan kepada kontrak profesional pertama bersama ONE Championship bernilai AS$100,000 (RM424,106), sekali gus meletakkan Aliff antara atlet muay thai muda paling berjaya di pentas antarabangsa.

Lebih manis, pada Ogos 2024, Aliff mencipta kemenangan bergaya apabila menewaskan petarung Maghribi, Zakaria El Jamari menerusi knockout (KO) dan kejayaan itu menghadiahkannya bonus tertinggi setakat ini, AS$50,000 (RM212,057).

“Empat pertarungan awal itu, saya dapat bonus prestasi AS$10,000 (RM424,106) dalam setiap satu pertarungan. Itu sebelum kontrak.

“Selepas saya dapat kontrak, saya menang lawan Zakaria, dapat AS$50,000 (RM212,057). Semua tu dari bos Chatri Sityodtong (Ketua Pegawai Eksekutif ONE Championship), kalau dia tengok dia suka pertarungan itu, dia bagi bonus,” kata Aliff ketika ditemui di pusat latihan miliknya, KIB Boxing Muay Thai Gym di sini, hari ini.

Bagi Aliff, kejayaan dalam ONE Championship bukan sahaja membuka peluang ke peringkat dunia, malah membolehkannya mengubah masa depan.

“Alhamdulillah, sepanjang saya bertarung dalam ONE Championship, dapat beli tanah di kampung di Kelantan dan buka gimnasium. Selepas ini mungkin nak buka cawangan gimnasium lain pula, mungkin di Johor,” katanya yang mahu membantu melahirkan lebih ramai atlet muda dalam sukan muay thai.

Pada aksi terbaru dalam ONE Fight Night 32 di Stadium Lumpinee, Bangkok, Aliff membuktikan ketahanan mental dan fizikalnya apabila mencatat kemenangan keempat berturut-turut biarpun beraksi dalam keadaan kurang sihat.

Beraksi dalam kategori strawweight muay thai, Aliff menewaskan wakil Maghribi, Elmehdi El Jamari, menerusi keputusan sebulat suara (unanimous decision) selepas menampilkan aksi bertenaga sepanjang tiga pusingan.

Kemenangan itu menyusuli kejayaan bergaya KO di pusingan pertama ke atas petarung Russia, Shamil Adukhov, pada 8 Februari lalu, menjadikan rekod peribadi Aliff kini lapan kemenangan daripada 10 pertarungan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top