Kuala Lumpur: Buat julung kalinya dua pengaruh dan pakar dalam bidang masing-masing bergabung di bawah satu bumbung.
Jenama pencuci mulut popular tempatan, Kunafa Aiwahh mengangkat usahawan popular Datuk Seri Aliff Syukri sekeluarga sebagai duta mereka sempena pelancaran perisa terbarunya.
Pempengaruh terkenal Mohd Ruzain Ahda Mohd Rosli atau Ojen Aiwahhh berkata, pemilihan Aliff Syukri sebagai duta bertepatan kerana usahawan itu cukup sinonim dengan produk berasaskan buah mangga.
“Aliff Syukri popular dengan jeruk mangga, jadi gandingan antara beliau dan produk terbaharu, Kunafa Mangga Lima sangat serasi. Sebenarnya, kami sahabat lama dan beliau yang mencadangkan untuk saya mengeluarkan kunafa perisa mangga memandangkan di Malaysia ramai peminat buah mangga.
“Beliau menunjukkan bukti jualan jeruk mangga yang mencecah jutaan ringgit sebulan, jadi saya yakin bahawa kunafa berasaskan buah mangga memiliki potensi yang besar,” kata Ojen yang juga Pengarah Aiwahhh Global Sdn Bhd.
Tambah Ojen begitupun pihaknya berdepan cabaran besar untuk mendapat persetujuan usahawan terbabit kerana beliau belum pernah menjadi duta mana-mana produk makanan sebelum ini.
“Aliff Syukri sekeluarga adalah duta Kunafa Aiwahhh paling mahal pernah saya bayar. Walaupun bayarannya mahal, beliau sangat komited dan memberi komitmen seratus peratus.
“Bahkan sebelum bersetuju, beliau meletakkan syarat untuk Kunafa Mangga Lima harus melepasi piawaian tekaknya terlebih dahulu kerana mereka sekeluarga memang pelanggan Kunafa Aiwahhh. Alhamdulillah, selepas merasai sendiri, beliau terus memberikan persetujuan,” katanya.
Sementara itu, Aliff Syukri mendedahkan, beliau menerima tawaran untuk menjadi duta produk pencuci mulut ini kerana yakin dengan kualitinya selain menerima bayaran yang lumayan.
Tambahnya, kolaborasi bersama jenama itu memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak memandangkan masing-masing mempunyai produk berasaskan buah mangga selain pengikut yang berbeza peringkat usia.
Kerjasama terbabit turut menampilkan keluarga Aliff Syukri termasuk isteri, Datin Seri Nur Shahida dan anak-anaknya, Ammar Ahyyan, Qadejah El Zahra dan Ibraheem Adham.
Kunafa Mangga Lima yang juga perisa kesembilan Kunafa Aiwahhh dijual pada harga RM45 dan boleh didapati di Havoc Food Festival di Stadium Shah Alam, Selangor sejak kelmarin hingga Ahad ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




