georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi Bella Astillah, 30, tiada masalah apabila bekas suaminya Aliff Aziz, 33, tidak menghubungi atau mencari anak-anaknya sejak mereka bercerai pada 13 Jun lalu.
Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah berkata, sebenarnya situasi begitu memberinya masa untuk fokus kepada kehidupan sekarang tanpa perlu terlalu memikir hal itu.
“Sebenarnya saya sudah tak mahu ulas pasal itu, tapi sejak kejadian lalu sehingga hari ini, tiada satu mesej, panggilan atau Direct Message (DM) daripada dia. Tapi saya tiada masalah dengan benda itu.
“Saya tidak pertikaikan, tidak marah dan saya rasa lebih baik begini. Tapi kita tak tahu tiga sehingga empat tahun lagi macam mana sebab saya rasa ini jalan yang terbaik. Saya seorang yang berhati lembut, dan saya tidak bersedia untuk itu (berbaik).
“Alhamdulillah anak-anak tidak mencari. Saya lagi takut kalau mereka fikir yang bukan-bukan tapi sekarang mereka fokus belajar dan setakat ini okay. Boleh nampak di media sosial saya,” yang ditemui pada pelancaran lagu terbarunya Tapi Bukan Denganmu di Aurum Theatre, The Exchange TRX, hari ini.
Bella juga sentiasa mendoakan yang terbaik baik untuk Aliff dan keluarga mentuanya. Dia mahu terus pastinya dirinya pulih semangat dari segala hal.
“Saya nak membantu diri saya untuk ‘heal’, jadi saya tidak ‘stalk’ dan saya tidak tahu apa-apa perkembangan mengenai dia atau keluarga dia. Saya hanya mendoakan yang terbaik buat dia dan keluarga dia.
“Saya tidak cakap yang pihak sana tiada usaha tapi sebenarnya saya bersetuju dengan tindakannya sekarang. Saya tidak marah dan saya rasa adalah lebih baik kita menjalani kehidupan masing-masing.
“Saya lebih tenang alhamdulillah. Saya gembira dia ada kehodupan dia dan saya tidak mendoakan yang tidak baik. Kita pun manusia, kita sendiri nak minta orang doakan yang terbaik,” katanya.
Justeru, Bella yakin lebih baik dia mendoakan yang terbaik buat semua pihak terutama anak-anak tersayangnya, Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3.
“Nak ‘move on’ tak senang sebab hubungan kami selama 12 tahun itu tak mudah, tapi saya percaya lambat laun pasti saya boleh ‘move on’. Ia tak mudah tapi dengan adanya anak-anak dan keluarga, saya percaya masa itu akan tiba juga,” katanya.
Lagu terbarunya Tapi Bukan Denganmu dicipta komposer, Sharon Paul manakala lirik ditulis Bella sendiri.
Istimewanya, muzik video turut menampilkan pelakon hebat Ellie Suriaty, Muaz Jabbir dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.
© New Straits Times Press (M) Bhd

