rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan terus bergerak perlahan malam ini, berikutan pertambahan bilangan kenderaan bergerak keluar dari pusat bandar, sempena cuti umum Hari Malaysia dan cuti persekolahan.
Berdasarkan kemaskini info aliran trafik oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di laman sosial setakat 10 malam ini, trafik dilaporkan perlahan ke arah Timur dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke Plaza Tol Gombak.
Keadaan sama dilaporkan berlaku di Plaza Tol Gombak menghala Genting Sempah dan Bukit Tinggi ke Bentong.
Aliran trafik turut perlahan menghala ke Utara di Lebuhraya Utara Selatan membabitkan laluan dari Jasin ke Ayer Keroh dan Pedas Linggi ke Senawang.
Manakala arah Selatan, trafik dilaporkan perlahan dari Seremban ke Pedas Linggi dan Sedenak ke Kulai.
Trafik perlahan juga dilaporkan berlaku di Lebuhraya Utara Selatan dari Seremban ke Port Dickson berikutan terdapat lori tangki rosak.
Sebelum ini, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dilapor menjangkakan peningkatan aliran trafik hingga 2.2 juta kenderaan sehari di lebuh raya kendaliannya pada hari puncak sempena cuti persekolahan dan sambutan Hari Malaysia.
Sehubungan itu, PLUS menasihatkan pengguna Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) merancang perjalanan lebih awal dengan merujuk jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA dalam aplikasi PLUS.
© New Straits Times Press (M) Bhd




