rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama keluar ibu kota dilaporkan meningkat petang ini, berikutan cuti panjang sempena perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) yang turut bersambung dengan permulaan Ramadan.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi kemaskini di media sosial setakat 6 petang tadi melaporkan trafik perlahan di sesetengah kawasan menuju ke Utara dan Selatan tanah air.
Menurut PLUS, trafik dilaporkan perlahan arah Selatan dari Bandar Ainsdale ke Nilai, Nilai ke kawasan rehat dan rawat (R&R) Seremban, serta Seberang Jaya ke Perai.
Keadaan trafik sama dilaporkan berlaku di arah Utara dari Putra Heights ke Bandar Saujana Putra, Yong Peng ke Pagoh, Terowong Menora ke R&R Sungai Perak, dan Tapah ke Gopeng.
Aliran trafik perlahan itu juga disebabkan oleh insiden kemalangan berhampiran kawasan berkenaan.
PLUS turut melaporkan trafik perlahan di Plaza Tol Sungai Besi menuju ke pusat bandar.
Dalam pada itu, aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) juga mengalami peningkatan berikutan pertambahan kenderaan menuju ke Pantai Timur.
Antara kawasan dilaporkan mengalami aliran trafik tinggi adalah di Gombak ke Genting Sempah, Lentang dan Bentong.
Terdahulu, PLUS menerusi satu kenyataan memaklumkan jangkaan peningkatan ketara jumlah trafik di beberapa lebuh raya utama, termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sempena sambutan TBC yang bersambung dengan permulaan Ramadan.
PLUS dilapor berkata, jumlah trafik dijangka mencecah sehingga 2.2 juta kenderaan sehari ketika tempoh perjalanan puncak, khususnya pada 12, 13 dan 14 Februari bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang, serta pada 20 dan 21 Februari bagi perjalanan pulang ke Lembah Klang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




