Aliran trafik perlahan di beberapa lebuh raya utama malam ini

Aliran trafik perlahan di beberapa lebuh raya utama malam ini

Kuala Lumpur: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama menghala ke Lembah Klang mulai perlahan setakat 8 malam ini, susulan pergerakan orang ramai mula pulang ke ibu kota selepas cuti Aidiladha.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik dari arah utara ke Lembah Klang di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dilaporkan perlahan di beberapa lokasi termasuk Alor Setar Selatan ke Sungai Petani, Bandar Cassia ke Taiping dan Sungai Perak ke Ipoh.

Turut dilaporkan perlahan dari Gopeng ke Sungkai dan Behrang menuju ke Rawang.

“Aliran trafik dari arah selatan di PLUS pula dilaporkan perlahan dari Pagoh ke Ayer Keroh dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh ke Nilai,” katanya kepada Bernama malam ini.

Bagi aliran trafik dari arah timur ke Lembah Klang di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dilaporkan perlahan di Lanchang ke Plaza Tol Karak, Karak ke Bukit Tinggi dan Genting Sempah ke Plaza Tol Gombak.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau saluran WhatsApp LLM Info Trafik serta laman X @llmtrafik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top