Kuala Lumpur: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan terkawal walaupun jumlah kenderaan semakin bertambah setakat 6.30 petang ini, menjelang sambutan Tahun Baharu Cina dan Ramadan minggu depan.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan trafik masih terkawal di sekitar Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2 serta Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala Johor.
Beliau berkata terdapat pertambahan trafik di Gombak ke Genting Sempah dan laluan masuk ke ibu negara, iaitu Plaza Tol Sungai Besi ke pusat bandar dan Senai ke Kulai.
“Aliran trafik perlahan dilaporkan di Terowong Menora ke kawasan Rehat dan Rawat Sungai Perak, Bandar Baharu ke Jawi dan Permatang Pauh ke Plaza Tol Sungai Dua.
“LLM menjangkakan bilangan kenderaan akan meningkat malam ini namun keadaan masih terkawal,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik.
© New Straits Times Press (M) Bhd



