am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: PETRONAS dijangka berdepan tekanan aliran tunai yang ketara tahun ini, sekali gus memberi kesan langsung terhadap keupayaannya memenuhi komitmen perbelanjaan modal serta pembayaran dividen RM20 bilion kepada kerajaan.
Penganalisis Public Investment Bank, Khairul Fahmi berkata, jangkaan cabaran kewangan syarikat minyak dan gas negara itu adalah berdasarkan kepada pelbagai faktor antaranya penyusutan harga minyak mentah global dan pelaksanaan disiplin pelaburan yang lebih ketat.
Beliau berkata, analisis sensitiviti yang dijalankan menunjukkan aliran tunai operasi PETRONAS berpotensi menyusut dengan ketara sekiranya harga minyak mentah Brent kekal pada paras purata AS$70 setong.
“Analisis sensitiviti awal kami mendapati bahawa pada harga purata minyak mentah Brent AS$70 setong, aliran tunai operasi PETRONAS boleh menguncup daripada RM102.5 bilion pada 2024 kepada sekitar RM81 bilion pada tahun lalu.
“Keadaan ini akan memberi tekanan terhadap komitmen perbelanjaan modal tahunan yang dianggarkan antara RM40 bilion hingga RM50 bilion, selain obligasi pembayaran dividen RM20 bilion pada tahun ini,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Khairul berkata, keadaan sama pernah berlaku ketika kejatuhan harga minyak sedekad lalu yang menyebabkan PETRONAS mengambil langkah mengurangkan perbelanjaan modal secara berperingkat bagi menyesuaikan diri dengan penyusutan hasil.
Beliau berkata, data menunjukkan pelaburan syarikat itu dikurangkan daripada RM71.1 bilion pada 2014 kepada RM44.5 bilion pada 2017, mencerminkan penurunan purata sebanyak RM8.8 bilion setahun.
“Pendekatan itu menggambarkan strategi berhati-hati PETRONAS dalam menguruskan projek kitaran panjang di tengah-tengah landskap ekonomi yang semakin mencabar,” katanya.
Menurutnya, seiring tekanan kewangan semasa, Tinjauan Aktiviti PETRONAS (PAO) bagi tempoh 2026 hingga 2028 dilihat mengambil pendirian lebih konservatif.
Katanya, pendekatan berkenaan dipacu oleh disiplin pelaburan huluan yang lebih ketat serta peralihan strategik ke arah pengoptimuman aset brownfield atau lapangan sedia ada, bagi mengekalkan tahap pengeluaran pada kos unit yang lebih rendah.
“Langkah ini dirangka dalam persekitaran harga minyak yang lebih lemah, selain mengambil kira ketidaktentuan domestik susulan usaha PETRONAS mendapatkan penjelasan mahkamah berhubung rangka kerja kawal selia operasi di Sarawak.
“Situasi ini mengukuhkan saranan ‘neutral’ kami terhadap sektor ini, selari dengan jangkaan bahawa harga minyak mentah Brent akan berlegar sekitar AS$60 setong pada tahun ini,” katanya.
Walaupun prospek keseluruhan dilihat suram, khususnya apabila aktiviti penyelenggaraan dan penggunaan kapal sokongan pada tahun lalu dijangka tidak mencapai sasaran, nota penyelidikan Public Investment Bank turut mengenal pasti perkembangan positif dalam segmen perkhidmatan telaga.
Bank pelaburan itu menjangkakan peningkatan ketara aktiviti dalam segmen berkenaan, didorong oleh penambahan 18 telaga pembangunan, 14 telaga penilaian serta 43 telaga plug and abandonment (P&A) yang dijadualkan bagi tempoh 2026 hingga 2027.
Harga minyak mentah dunia mencatatkan turun naik sejak dari awal tahun hingga kini. Pada awal Januari lalu, Brent berada sekitar AS$60.9 setong, manakala WTI sekitar AS$57.5 setong.
PETRONAS dijadual mengumumkan prestasi kewangan bagi tahun kewangan 2025 dalam satu sidang akhbar, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




