nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kegigihan Alisya Zehra Mohd Izuan, 8, yang bertungkus-lumus bagi memperoleh kemenangan membuahkan hasil apabila kanak-kanak itu berjaya bergelar juara dalam Kejohanan National Youth Chess Championship (NYCC) 2026 bagi kategori Bawah 8 Tahun (U8G), baru-baru ini.
Malah, kemenangan itu menjadi kenangan indah bagi kanak-kanak berkenaan apabila berjaya bergelar juara peringkat kebangsaan tiga kali berturut-turut termasuk dua kali pada 2025.
Ibunya, Zahidahtul Kamaliah Saharun, 38, berkata, kejohanan itu berlangsung pada 7 dan 8 Februari lalu di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Perak.
“Ia membabitkan kira-kira 600 pemain catur dari seluruh negara merangkumi kategori U8 hingga U18.
“Meskipun persaingan amat kompetitif, namun Alhamdulillah Alisya berjaya menampilkan prestasi konsisten dan mempertahankan kecemerlangan.
“Dalam kejohanan itu, Alisya berjaya mendapat mata penuh dalam pusingan dan muncul sebagai juara bagi kategorinya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, kejayaan itu melayakkan Alisya untuk menjadi wakil rasmi Malaysia dalam Pertandingan World Chess Federation (FIDE) World Cup di Georgia dan beberapa pertandingan lain di peringkat Asia dan Asean.
“Minat dan disiplin Alisya terhadap catur menjadi antara faktor utama kejayaan ini. Dia sudah menjalani latihan catur secara berstruktur di bawah bimbingan jurulatih bertauliah sejak berusia lima tahun.
“Namun pada masa sama, Alisya mengimbangi latihan itu dengan akademik dan aktiviti harian seperti kanak-kanak seusianya,” katanya.
Menurutnya, kejayaan Alisya itu amat membanggakan dan dia terharu dengan pencapaian diraih anaknya itu yang kini sudah memperoleh 100 pingat serta piala dalam pertandingan catur.
“Kami seisi keluarga sentiasa berdiri teguh di belakang Alisya dan berharap kejayaannya dapat membantu mengetengahkan bakat muda dalam sukan catur.
“Pada masa sama, saya harap ia dapat membuka peluang kepada mana-mana pihak yang berminat untuk menaja Alisya bagi menyertai kejohanan catur antarabangsa di luar negara sebagai wakil Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Alisya meraih lebih 60 pingat dan piala hasil kejuaraan menyertai pertandingan catur sejak berusia lima tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




