Allah melaknat penerima, pemberi, perantara

Allah melaknat penerima, pemberi, perantara

Rasuah perbuatan keji yang amat membahayakan perkembangan ekonomi dan kelicinan pembangunan masyarakat. Andainya amalan ini semakin berleluasa, sudah pasti keharmonian sesebuah masyarakat akan terjejas, manakala keadaan rakyat dan sistem pentadbiran negara akan turut menjadi kucar-kacir.

Perbuatan rasuah atau turut dikenali dengan istilah ‘makan suap’, bukanlah suatu perkara baharu dalam kehidupan masyarakat moden hari ini. Malah ia satu penyakit sosial yang sudah lama muncul.

Berhubung hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang telah kami lantik untuk memegang sesuatu pekerjaan, yang kami tetapkan pula pendapatannya, jika dia mengambil lebih daripada (pendapatan) ditetapkan itu (iaitu dengan cara rasuah), dia adalah mencuri.” (Riwayat Muslim, hadis no 1833)

Kekayaan dan kemegahan hidup yang diperoleh dengan cara rasuah sangat dikutuk oleh Islam. Khalifah Islam ketiga, Saidina Umar al-Khattab RA juga melafazkan perkataan yang sangat berat mengutuk perbuatan rasuah ini. Begitu juga dengan sikap Khalifah Umar Abdul Aziz yang dengan tegasnya menentang perbuatan rasuah.

Pengertian rasuah bukanlah terhad kepada penerimaan wang sahaja, tetapi merangkumi perkara seperti tidak menjalankan tugas diamanahkan secara jujur dan tidak melakukan kebenaran dalam segala tingkah laku.

Pegawai yang kurang bertanggungjawab atau menyalahgunakan kuasa diberikan kepada mereka adalah antara sebab timbulnya perbuatan rasuah. Amalan rasuah adalah suatu unsur penting yang boleh menghancurkan pembangunan masyarakat dan negara.

Perbuatan rasuah akan berlaku apabila wujud orang terlalu ingin mencari taraf hidup lebih tinggi daripada yang tersedia ada. Tambahan pula ia disertai dengan perasaan hendak menunjuk-nunjuk kemewahan itu, padahal di luar kemampuannya. Untuk memastikan kemewahan yang diinginkan itu tercapai, lalu seseorang itu akan berusaha mencarinya walaupun dengan cara tidak jujur iaitu rasuah.

Pegawai yang ditugaskan untuk menguruskan kepentingan orang ramai wajiblah menjalankan segala tugas dengan jujur, amanah dan bertanggungjawab.

Ini semata-mata untuk menjamin kebahagiaan dan keharmonian masyarakat yang seterusnya mewujudkan keamanan negara.

Seseorang pegawai itu boleh dikatakan bertanggungjawab sekiranya tugas yang dilakukannya semata-mata untuk kebajikan rakyat dan kerana Allah SWT bukan kerana disogok atau diupah dengan cara tidak jujur untuk kepentingan diri sendiri.

Segala macam bentuk hadiah dan buah tangan yang diberikan dengan untuk mempercepatkan sesuatu urusan orang atau pihak tertentu adalah dianggap rasuah.

Hidup mewah dengan hasil perbuatan rasuah amat dikutuk oleh Islam. Hidup mewah seperti itu hanya menurut kehendak hawa nafsu semata-mata. Pada hal di sebalik kemewahannya itu berapa banyak pula harta, hak dan kepentingan orang lain terkorban. Mereka sebenarnya lupa segala azab dan sengsara yang akan mereka terima di akhirat nanti akibat perbuatan mereka sendiri.

Dalam hubungan ini, Rasulullah SAW memperingatkan umatnya yang dilantik menjadi pegawai, yang diamanahkan bagi menjalankan kerja untuk kebajikan orang ramai, supaya jangan menunjuk-nunjukkan hidup yang terlalu mewah.

Baginda Nabi SAW pernah bersabda kepada Muaz bin Jabal RA ketika beliau dilantik menjadi kadi di Yaman, yang bermaksud: “Jauhilah daripada hidup dalam keadaan serba mewah kerana hamba Allah SWT yang setia bukanlah orang hidup dalam keadaan serba mewah.” (Riwayat Imam Ahmad)

Muaz bin Jabal RA mematuhi pesanan dan nasihat Rasulullah SAW itu. Dia tidak menyeleweng dan menyalahgunakan kuasa, jawatan dan tugas yang diamanahkan kepadanya. Dia tidak ingin menjadi penyeleweng kerana bertuankan hawa nafsu. Kehidupan beliau tidak melebihi pendapatan yang diperoleh.

Oleh itu beliau tidak termasuk dalam golongan yang disabdakan oleh Nabi SAW yang bermaksud: “Nanti akan ada orang daripada umatku memakan sajian makanan dan minuman yang bermacam-macam serta memakai pakaian beraneka jenis dan mereka pandai pula bercakap, berbual dan memutarbelitkan kenyataan. Mereka itu adalah penajahat dalam umatku.” (Riwayat al-Tabrani)

Seorang pegawai Rasulullah SAW daripada bahagian perbendaharaan negara, setelah berjalan memungut cukai, dia kembali ke Kota Madinah untuk menyerahkan hasil pungutan itu kepada Rasulullah SAW. Pegawai itu berkata: “Wahai Rasulullah, ini hasil negara dan ini hadiah untuk saya.” Mendengar kata-kata itu, wajah Rasulullah SAW terus berubah, lalu baginda bersabda kepada orang ramai yang bermaksud: “Aku telah melantik seorang pegawai untuk satu pekerjaan, sesudah bertugas dia datang dan berkata, ini untuk negara dan ini untuk saya, hasil hadiah daripada orang ramai. Andainya dia duduk di rumah ibu bapanya, adakah dia dapat hadiah jika dia jujur? Janganlah kamu mengambil sesuatu yang tidak hak bagi kamu.” (Riwayat Muslim, hadis no 1832)

Selagi rasuah tidak dapat dihapuskan dalam sesebuah negara, selama itulah masyarakatnya akan berada dalam keadaan kucar-kacir. Tidak boleh dinafikan terdapat kes pembunuhan akibat daripada perbuatan rasuah. Ini kerana perasaan yang tidak puas hati di pihak yang tertindas itu boleh membuatkan mereka hilang pertimbangan, lalu melakukan perbuatan berlawanan dengan undang-undang sedia ada.

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Bahawa dosa perbuatan rasuah itu sama-sama ditanggung oleh pihak yang memberi, menerima dan orang menjadi perantaraan dalam perbuatan rasuah itu.” (Riwayat Abu Dawud, hadis no 3575)

Sementara hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad pula bermaksud: “Tuhan melaknat orang yang memberi rasuah, menerima dan menjadi perantaraannnya.” (Riwayat Abu Dawud)

Semua umat Islam sepatutnya meninjau kembali tujuan hidup yang sebenarnya. Menyelidik kembali akan hubungan dengan Allah SWT serta hubungan sesama manusia lain. Dengan demikian melalui kesedaran yang jujur dapatlah seseorang itu bersihkan diri daripada segala perbuatan jijik itu.

Untuk melahirkan masyarakat bersih pada generasi akan datang, anak-anak kita yang masih kecil perlu diberikan didikan rohani dengan selengkapnya agar mereka menjadi manusia jujur dan bertindak di atas sesuatu perkara berdasarkan kebenaran dan keadilan, sesuai dengan ajaran Islam.

Penulis pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), USM, Pulau Pinang

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top